MUTAKHIR ini timbul lagi perbincangan hangat tentang isu anak Sarawak yang bergelut dengan masalah untuk mendapatkan dokumen berkaitan kewarganegaraan.
Isu itu timbul dalam kalangan rakyat Sarawak yang dilahirkan dari kahwin campur, yang salah seorang daripada ibu bapa mereka merupakan rakyat asing.
Semasa di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu, Jawatankuasa Khas Sarawak Mengenai Kewarganegaraan telah diwujudkan pada tahun 2016, di bawah Artikel 15A Perlembagaan Persekutuan untuk menangani isu berkenaan.
Namun apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kerajaan pada 2018, badan itu telah dimansuhkan setahun kemudian dan semua kes berkenaan diwajibkan untuk dikemukakan semula kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tujuan penyelerasan oleh Pasukan Petugas Khas pihak Persekutuan di bawah PH.
Justeru itulah, baru-baru ini Menteri Kebajikan, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah telah menyerlahkan semula isu itu agar Sarawak diberi autonomi untuk mengendalikannya, memandangkan penyelesaian kes-kes berkaitan masih jua lambat akibat karenah birokrasi yang keterlaluan.
Menurut Fatimah, sejak dari 2016 sehingga 22 Oktober 2021, sejumlah 969 permohonan kewarganegaraan telah diterima, namun hanya 253 sahaja sehingga kini yang telah diluluskan, dan yang bakinya masih dalam senarai pertimbangan.
Rabu lepas, Senator Robert Lau Hui Yew telah mengeluarkan kenyataan menyokong saranan Dato Sri Fatimah itu, dan menzahirkan kekecewaan beliau betapa, dalam menunggu keputusan KDN itu, kanak-kanak Sarawak terpaksa melalui keresahan dan kebimbangan berkaitan hak mereka ke atas pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan serta hak mendapat bantuan kebajikan.
Senator Robert Lau telah menyarankan agar Sarawak menggunakan kuasa di bawah Ordinan Kelahiran dan Kematian 1951 (Sarawak Cap.10) dengan mewujudkan jabatan pendaftaran kita sendiri bagi tujuan mengeluarkan kad kelahiran bagi mana-mana anak Sarawak dan kad berkenaan yang boleh digunakan untuk pendaftaran pendidikan, peduli kesihatan, pekerjaan dan keperluan kebajikan.
Inilah salah satu lagi isu yang dilihat sebagai inti pati Persetujuan Malaysia 1963 (MA63).