ROMPIN: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggunakan helikopter bagi semburan udara produk biopestisid bagi mengawal serangga perosak ulat bungkus di kawasan tanaman sawit yang menyebabkan kerugian sekitar RM100 juta setahun, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata penggunaan helikopter dikendalikan Altus Aviation Services Sdn Bhd itu, menggantikan penggunaan dron yang digunakan sebagai inisiatif kawalan semburan udara sejak 2017.
Inisiatif kawalan juga pernah menggunakan kapal terbang semburan pertanian bermula 2009.
“Penggunaan helikopter boleh meliputi kawasan lebih luas yang berkesan untuk mengawal pembiakan ulat bungkus yang menjejaskan pengeluaran dan produktiviti pokok sawit selain kosnya lebih efektif.
“Paling penting, biopestisid berasaskan Bacillus thuringiensis (Bt) yang digunakan dalam kawalan ulat ini adalah mesra alam, yang merupakan produk hasil teknologi MPOB,” katanya.
Fadillah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran helikopter itu dan majlis pecah tanah kilang sawit pintar di Pusat Latihan Sawit Malaysia (PLASMA), Stesen Penyelidikan MPOB Keratong di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi MPOB Datuk Mohamad Helmy Othman Basha dan Ketua Pengarah lembaga itu Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Kejayaan mengurangkan populasi ulat bungkus itu juga menunjukkan keberhasilan kaedah sistem kawalan perosak bersepadu atau dikenali sebagai Integrated Pest Management (IPM) yang dibangunkan MPOB.
Sebagai contoh, Fadillah berkata, serangan ulat bungkus melibatkan 19,000 hektar kawasan tanaman sawit di Johor berkurangan kepada 4,000 hektar manakala populasinya di Perak dapat diturunkan melebihi 95 peratus.
MPOB, menurut beliau akan terus melakukan pemantauan dan kawalan ulat bungkus selain memberi khidmat nasihat kepada pihak estet dan pekebun kecil bagi menangani serangan serangga perosak itu.
Kerajaan juga telah memperuntukkan RM12.4 juta untuk tempoh lima tahun bermula 2018, bagi mengurangkan ancaman serangga perosak itu.
Sementara itu, mengulas mengenai pembinaan kilang sawit pintar itu, Fadillah berkata pembinaannya dijangka siap pada hujung tahun depan dan mula beroperasi pada 2025, dengan kapasiti pemprosesan buah tandan segar sebanyak 30 tan sejam.
Kilang yang dibangunkan dengan kerjasama MPOB dan Syarikat Fusionex Group itu akan berlandaskan pendekatan Revolusi Industri (IR4.0) dan antara lain, menggunakan pendekatan pelepasan sifar dalam usaha menyokong kemampanan alam sekitar. – Bernama