
SERIAN: Penduduk yang diarahkan berpindah akibat banjir diingatkan supaya menggunakan bot yang besar, stabil dan selamat, khususnya di kawasan yang berisiko dengan kehadiran buaya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dalam keadaan banjir yang masih melanda beberapa kawasan, keutamaan adalah menyelamatkan nyawa, manakala proses perpindahan harus dilakukan dengan berhati-hati.
“Perkara paling penting, kita pindahkan orang. Bila pindah, pastikan guna bot yang selamat dan cukup besar. Berhati-hatilah kerana kita tidak tahu apa yang ada di dalam air. Buaya kita biarkan di bawah sana, nyawa manusia lebih utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 29 di sini, hari ini.
Uggah turut menegaskan penduduk perlu mematuhi arahan pemindahan sebaik sahaja pihak berkuasa mengeluarkan arahan, terutama apabila paras air menunjukkan peningkatan yang berbahaya.
“Tujuan pemindahan adalah untuk menyelamatkan nyawa. Kita faham penduduk risau meninggalkan rumah, lebih-lebih lagi rumah panjang, tetapi jika air naik sehingga paras bumbung, terutama pada waktu malam dan di kawasan pedalaman, ia sangat berbahaya,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau kawasan yang ditinggalkan penduduk bagi memastikan keselamatan harta benda sepanjang tempoh pemindahan.
Dalam pada itu, Uggah berkata penduduk juga perlu peka dengan tanda-tanda awal banjir seperti paras air yang semakin hampir ke lantai rumah dan hujan berterusan di kawasan hulu sungai.
“Kalau air sudah naik dan ada petunjuk kawasan akan terjejas, jentera bantuan akan digerakkan lebih awal. Pengalaman penduduk sendiri sangat penting dalam membuat keputusan untuk berpindah,” katanya.
Di seluruh Sarawak, 42 PPS masih aktif setakat ini, melibatkan 876 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan 3,031 mangsa, merangkumi kawasan Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Serian, Kuching dan Samarahan.
Oleh Shahrul Qaizat