KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak menyarankan syarikat penerbangan supaya menggunakan Airbus A330, bukan Airbus A320 supaya dapat membawa lebih ramai penumpang balik ke negeri ini sempena Hari Krismas dan cuti persekolahan.
Menterinya, Dato Sri Lee Kim Shin berkata pihaknya sudah mencadangkan kepada syarikat penerbangan untuk menggunakan kapal terbang yang lebih besar sekiranya mempunyai terlalu banyak penumpang.
“Pakai A330 di Kuching, jangan pakai A320 supaya dapat membawa lebih ramai penumpang balik ke sini bagi merayakan Hari Natal dan cuti sekolah,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Lee juga berkata kementeriannya juga sudah berhubung dengan setiap syarikat penerbangan bagi menyelaraskan harga tiket serta kapasiti penerbangan masing-masing bagi menghadapi musim perayaan dan cuti sekolah yang bakal tiba.
Beliau berkata pihaknya akan sentiasa memantau harga tiket agar kadarnya sentiasa berpatutan.
“Saya juga ingin menasihati rakyat yang mahu balik(ke kampung halaman) agar membeli tiket awal kerana harga tiket yang dibeli awal lebih murah berbanding harga tiket yang dibeli pada saat akhir.
“Sekiranya membuat tempatan lebih awal mungkin ada tiket dijual pada kadar promosi yang lebih rendah,” katanya.
Lee berkata, kementeriannya juga telah menulis surat kepada semua syarikat penerbangan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bagi memastikan tambang penerbangan berpatutan.
“Ini bagi memastikan tambang penerbangan berpatutan untuk rakyat kita, terutama dalam kalangan pelajar dan mereka yang ingin melawat ahli keluarga serta sanak saudara pada musim perayaan, di Sarawak mahupun di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Lee berkata setakat Januari hingga September tahun ini, sejumlah 88,979 pesawat dan 6,013,068 pergerakan penumpang direkodkan di semua lapangan terbang Sarawak.
Beliau berkata kebanyakan penerbangan adalah dari Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Labuan, Brunei dan Singapura.
“Bagi kargo, 47,451 tan pergerakan kargo direkodkan di semua lapangan terbang Sarawak termasuk di lapangan terbang pendaratan dan pelepasan jarak pendek (STOLport) dari Januari hingga September tahun ini,” katanya.
Lee juga berkata Sibu akan memiliki penerbangan terus pertamanya ke Singapura, apabila AirAsia Berhad mengadakan penerbangan sulungnya pada 16 Disember akan datang, menawarkan empat penerbangan ke negara republik itu setiap minggu.
“Kami percaya ini akan memberi kemudahan kepada pelancong perniagaan dan pelancong yang akan merangsang aktiviti ekonomi di Sibu,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT