
KUANTAN: Penjualan Gula Rahmah yang tidak menerima sebarang insentif kerajaan setakat ini hanya dibenarkan melalui Program Jualan Rahmah MADANI yang dilaksanakan secara bergerak dan di luar premis.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata polisi itu tidak berubah dan kekal dilaksanakan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan gula pada harga lebih rendah.
“Setakat ini, itu adalah modus operandi penjualan Gula Rahmah yang dibenarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tetapi ia mungkin berubah dengan terserah kepada polisi baharu KPDN pada masa hadapan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Jualan Rahmah MADANI: Kembali ke Sekolah (PJRM KKS) di sini hari ini.
Gula Rahmah yang ditawarkan pada harga RM2.70 sekilogram adalah inisiatif HMBE Legacy Sdn Bhd dengan kerjasama KPDN.
Fuziah ketika menyentuh mengenai program hari ini berkata sebanyak 50 siri PJRM KKS dilaksanakan di seluruh Pahang bermula 18 Dis hingga 11 Jan sebagai langkah bersasar kerajaan menangani kos sara hidup menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
Di Pahang, program itu memfokuskan kepada keperluan sebenar persekolahan melalui penglibatan pembekal utama alat tulis sebagai rakan strategik dengan barangan seperti pensel warna dan kalkulator ditawarkan pada harga lebih rendah, selari dengan keperluan semasa ibu bapa serta pelajar.
“Tiada kawalan harga bagi barang persekolahan dan ia berada di pasaran terbuka agar berlaku persaingan sihat. Pada masa sama, kami sentiasa pastikan tidak berlaku pencatutan harga dan jika ada kami akan ambil tindakan,” katanya.
Fuziah yang juga Setiausaha Agung PKR ketika ditanya mengenai cadangan Pemuda UMNO yang mendesak parti berkenaan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan berkata setiap parti politik bebas untuk memilih rakan strategik.
“Ada yang pilih sama haluan, ada yang berbeza. Masing-masing ada alasan dan sebab… yang pilih berbeza itu mungkin untuk compliment (melengkapkan). Kami dalam Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.
-Bernama