SARIBAS: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas dekat Kampung Buda mempunyai potensi besar dalam pengeluaran produk pertanian berasaskan gula apong yang boleh dikomersialkan ke seluruh Sarawak malah ke luar negeri.
Justeru itu, sebuah tapak pemprosesan gula apong dicadangkan dibina di Kampung Buda bagi meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, kemudahan itu akan meransang pertumbuhan ekonomi penduduk yang berasaskan gula apong.
“Potensi positif berkenaan secara tidak langsung boleh menukar landskap Kampung Buda yang bakal menjadi pengeluar gula apong terkenal di negeri ini satu hari nanti.
“Kita juga akan mengenalpasti kawasan-kawasan lain yang berpontesi untuk membangunkan perusahaan gula apong di kawasan DUN Saribas,” katanya, semasa melakukan perbincangan Tapak Projek Pusat Pemprosesan Gula Apong Kampung Buda di Kampung Buda dekat sini semalam.
Razi berkata, beliau berhasrat untuk melihat semua peniaga gula apong di Kampung Buda mempunyai kemudahan yang sesuai untuk memproses produk berasaskan nipah itu.
“Hari ini kita melihat permintaan terhadap gula apong ini semakin hari semakin meningkat dengan mendadaknya.
“Sebagai contoh, di Kampung Tambak dekat Pusa, sememangnya diakui terkenal sebagai pengeluar gula apong bermutu yang terbesar di negara ini.
“Justeru, adalah wajar untuk Kerajaan Sarawak membangunkan kawasan Kampung Buda untuk dijadikan sebagai pengeluar produk gula apong yang bertujuan melindungi, memaju dan meningkatkan produk nipah serta gula apong. Pengeluaran gula apong memiliki potensi besar untuk berdaya maju,” ujarnya.
Bagi tujuan itu, Razi berkata, sebuah lokasi tapak pemprosesan moden yang dilengkapi peralatan mengikut piawaian dan pensijilan makanan antarabangsa juga perlu dipertimbangkan sewajarnya di Kampung Buda dalam DUN Saribas ini.
Justeru katanya, bagi memastikan masa depan industri ini, beliau akan berusaha membangunkan kawasan ini dengan mengambil langkah permulaan untuk mengangkat industri ini ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kita telah merancang untuk menjadikan kawasan Kampung Buda ini sebagai satu perusahaan utama pembuatan gula apong di DUN Saribas yang akan diberikan perhatian untuk dikomersialkan di kawasan ini.
“Selain sumbernya yang banyak, kita melihat perusahaan gula apong Kabong ini juga mampu menarik lebih ramai pengusaha di kalangan penduduknya,” katanya.
Razi berkata, perusahaan gula apong belum lagi meluas tetapi potensinya tetap ada dalam menjadikan gula apong ini sebagai satu industri utama makanan di Sarawak.
“Jadi, buat permulaan untuk mengangkat industri ini terus di ambil perhatian, saya telah mencadangkan tapak pemprosesan gula apong ini dibina.
“Pengeluaran gula apong memiliki potensi besar untuk berdaya maju. Justeru itu saya telah memandang perkara ini dan ia mampu berpotensi menjadi produk agropelancongan yang menarik di DUN Saribas,” ujar beliau.
Dalam perbincangan tersebut, Razi berharap kerjasama penduduk kampung akan membantu menyelesaikan urusan tapak projek dengan segera.
Oleh ADI SAFARMAN