


ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran melibatkan sebuah gudang penyimpanan perkakas elektrik di Jalan Sibiyu, Bintulu. Foto JPBM Sarawak
BINTULU: Sebuah gudang penyimpanan wayar dan perkakas elektrik di Jalan Sibiyu, di sini, nyaris musnah dalam insiden kebakaran hari ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.56 pagi.
“Setibanya di lokasi, kebakaran melibatkan kira-kira 45 peratus ruang simpanan dan merebak ke struktur bangunan dengan kemusnahan dianggarkan sekitar 20 peratus,” katanya.
Anggota bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua salur bantu mula dan dua nozel, dengan bekalan air daripada jentera sehingga api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut.