
Ketua bola sepak global Red Bull GmbH, Jurgen Klopp menganggap kejohanan Piala Dunia Kelab FIFA sebagai "satu idea paling teruk dalam bola sepak."
ORLANDO, Amerika Syarikat: Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola berkata beliau memahami pandangan Jurgen Klopp selepas bekas pengendali Liverpool itu menyifatkan Piala Dunia Kelab sebagai “idea paling teruk pernah dilaksanakan dalam bola sepak.”
Namun jurulatih dari Catalunya itu tetap mahu pasukannya memenangi kejohanan anjuran FIFA yang menerima banyak kritikan berikutan format baharu yang diperluas musim panas ini di Amerika Syarikat, sambil menegaskan kebanyakan rungutan datang daripada pasukan yang tidak layak.
Klopp, yang kini memegang jawatan ketua bola sepak global di Red Bull, memberitahu akhbar Jerman Welt am Sonntag jadual yang terlalu padat menyebabkan pemain tiada masa untuk berehat dari segi mental dan fizikal, selain berisiko tinggi mengalami kecederaan.
“Jurgen, kami sudah berdepan bersama berkali-kali, saya tahu daripada mana datangnya idea itu, kami banyak berbincang di England, semasa pergi ke mesyuarat UEFA, terutamanya mengenai Liga Perdana Inggeris, mengenai jadual perlawanan, untuk cuba meningkatkan kualiti,” kata Guardiola kepada wartawan
“Supaya pemain dapat berehat, jurulatih pun dapat berehat, maka mutu permainan lebih baik, jadi saya tidak terkejut, saya memahaminya, saya menghormatinya.
“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan Jurgen, walaupun kami bersaing hebat… saya memahami pendapatnya, malah saya juga akan mempertahankan pendapat itu.”
City mara ke pusingan 16 terakhir pada kejohanan itu dan akan menentang kelab Arab Saudi, Al-Hilal di Orlando pagi esok.
Guardiola berkata, meskipun kejohanan itu menerima banyak kritikan, beliau tetap berbangga dapat bersaing untuk memenanginya.
“Pada masa sama, kami ini bekerja dalam bola sepak, kami mengikut FIFA, UEFA, Liga Perdana, Serie A… jurulatih tidak akan mengatur kejohanan, setiap orang ada peranan masing-masing untuk menganjurkannya,” jelas Guardiola.
“Saya sudah banyak kali menyatakan, saya amat berbangga berada di sini, kerana akhirnya banyak pasukan yang merungut mengenai kejohanan ini hanya kerana mereka tidak berada di sini. Jika tidak, mungkin mereka juga suka berada di sini.
“Wartawan mereka akan hadir, penyokong mereka akan hadir, mereka akan meraih pendapatan di sini dan mereka juga pasti gembira.”
Manchester City menjuarai enam daripada lapan gelaran EPL terakhir, manakala Liverpool meraih dua kejuaraan, termasuk musim lalu.
Jurulatih England, Thomas Tuchel berkata Liverpool kendalian Arne Slot dan Arsenal mempunyai kelebihan berbanding City bagi kempen musim depan kerana mereka berehat sepanjang musim panas.
“Saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya, kalau tidak saya akan berasa terlalu cemas,” tegas Guardiola.
“Jadi saya cuba bertenang, menikmati masa di sini, dengan suasana positif dan kejohanan ini untuk cuba memenanginya.” – AFP