
MANCHESTER, (UK): Pemain-pemain Manchester City perlu meningkatkan prestasi bagi membantu Erling Haaland menamatkan kemarau jaringannya, kata pengurus Pep Guardiola menjelang perlawanan penting Liga Juara-Juara menentang Galatasaray awal pagi Khamis.
Penyerang Norway itu kali terakhir menjaringkan gol ketika menentang Brighton menerusi sepakan penalti pada awal Januari, namun belum menemui sasaran daripada permainan terbuka sejak sebelum Krismas.
Guardiola sebelum ini berkata penyerang bintangnya itu, yang masih mendahului carta penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 20 gol walaupun melalui tempoh suram, berada dalam keadaan “keletihan”.
Beliau meninggalkan pemain berusia 25 tahun itu daripada kesebelasan utama ketika kemenangan 2-0 ke atas pasukan tercorot Wolves pada Sabtu lalu, sambil menjelaskan keputusan itu dibuat untuk “membersihkan mindanya, tubuhnya”.
Guardiola, ketika sidang media pra-perlawanan hari ini berkata pasukannya perlu “bermain dengan lebih baik” bagi membantu Haaland.
“Cipta lebih banyak peluang, dia akan menjaringkan gol,” katanya.
“Jangan sekali-kali memandang rendah penyerang, penjaring gol, kerana akhirnya mereka akan membuatkan kamu diam.
“Kami mahu dia terus menjaringkan gol sepanjang hidupnya, itu sudah pasti.”
Juara Eropah 2023 itu memasuki perlawanan Rabu di Etihad selepas kekalahan mengejut 3-1 di tempat lawan kepada Bodo/Glimt minggu lalu.
Kekalahan itu menyebabkan mereka berada di tangga ke-11 fasa liga Liga Juara-Juara, dalam kalangan lapan pasukan yang mengumpul 13 mata.
Hanya lapan pasukan teratas layak terus ke pusingan 16 terakhir, manakala pasukan di kedudukan kesembilan hingga ke-24 akan bersaing dalam pusingan play-off dua perlawanan bulan depan.
“Saya lebih suka kami memiliki lebih banyak (mata) tetapi itulah yang kami layak terima,” kata Guardiola, yang pasukannya masih bersaing merebut empat trofi. “Kami perlu fokus dan cuba memenangi perlawanan kami, kemudian lihat kedudukan akhir.”
Rodri digantung perlawanan Rabu selepas dilayangkan kad merah di Norway.
Pemain baharu Marc Guehi dan Antoine Semenyo pula tidak layak beraksi dalam Liga Juara-Juara sehingga peringkat kalah mati.
Ruben Dias, Josko Gvardiol, John Stones, Savinho dan Oscar Bobb masih diketepikan akibat kecederaan. – AFP