LONDON: Pep Guardiola menegaskan bahawa dia tidak akan meninggalkan Manchester City yang sedang bergelut dan ketika ini dia sedang berusaha keras menamatkan kemerosotan yang dialami penyandang juara itu.
Guardiola baru-baru ini menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun, tetapi prestasi buruk City menimbulkan persoalan mengenai masa depannya di Etihad Stadium.
Rentetan kekalahan yang dialami, sembilan kekalahan dalam 13 perlawanan dan hanya satu kemenangan , ia sudah cukup mengecewakan pasukan itu.
Ia mencetuskan spekulasi bahawa pengurus City ini mungkin akan memutuskan untuk berundur jika dia gagal mencari penyelesaian untuk masalah pasukannya.
Namun, selepas membawa City meraih enam gelaran Liga Perdana dalam tujuh musim yang lalu, Guardiola dengan tegas mengatakan bahawa dia masih bersemangat untuk mengubah keadaan.
“Saya akan cuba, saya akan teruskan. Kadangkala anda fikir siri kekalahan akan berakhir lebih awal atau ia akan lebih mudah untuk diperbaiki, tetapi ia memerlukan lebih banyak masa.
“Saya tidak akan menyerah. Saya mahu berada di sini. Saya mahu melakukannya dan dengan situasi yang kami hadapi, kami perlu memperbaikinya.
“Sudah tentu saya mahukannya, semua orang mahukannya. Saya tidak mahu mengecewakan orang saya dalam kelab ini, peminat dan orang yang menyayangi kelab ini.”
“Saya rasa kita semua dalam kelab ini mahu melakukannya dengan baik dan menggembirakan semua orang.
“Itu tidak dapat dinafikan dan tiada persoalan mengenainya.
“Ujian terbesar adalah untuk bangkit semula, tetapi kami sudah melakukannya sebelum ini,” katanya.
Kecederaan menjadi faktor utama dalam kejatuhan City, yang kini berada di tempat ketujuh dalam kedudukan carta Liga Perdana. – AFP