LEICESTER: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berkata, kelegaan adalah satu-satunya emosi yang dapat dirasai selepas kemenangan 2-0 ke atas Leicester, kemenangan kedua yang diraih dalam 14 perlawanan liga awal pagi tadi.
Savinho dan Erling Haaland, masing-masing menjaringkan gol pada babak pertama dan kedua ketika City menamatkan rentetan lapan perlawanan tanpa kemenangan di tempat lawan.
Prestasi itu masih jauh dari standard yang ditetapkan oleh pasukan Guardiola dengan status mereka yang meraih empat gelaran berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris.
Sambutan gol kemenangan yang dihasilkan menerusi tandukan Haaland 16 minit sebelum tamat perlawanan menunjukkan bahawa tiga mata adalah perkara paling penting buat pasukan itu untuk sekurang-kurangnya menghentikan seketika kemerosotan mereka buat sementara waktu dalam perlawanan ke-500 Guardiola sebagai pengurus.
“Ia tidak menyeronokkan sekarang, ia hanya kelegaan. Kami melakukan perkara yang luar biasa selama bertahun-tahun.
“Kami melakukan banyak perkara yang akan diingati selamanya dan mungkin tempoh ini, yang terasa seperti 100 bulan, akan membuatkan kami menyedari betapa indahnya ia.
“Mudah-mudahan kami boleh kembali, mungkin tidak menjadi seperti dulu tetapi lebih dekat daripada sekarang.”
“Hari ini kami menang dan inilah yang kami perlukan untuk minda dan jiwa kami,” kata Guardiola.
Kemenangan itu membawa City naik ke tangga kelima, tetapi mereka masih ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liverpool, yang mempunyai kelebihan satu perlawanan. – AFP