MANCHESTER: Pep Guardiola berkata kemenangan 4-1 Manchester City ke atas West Ham awal pagi tadi adalah satu “kelegaan” bagi pemainnya tetapi penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu masih jauh dari prestasi terbaik mereka.
City hanya mencatat satu kemenangan dalam 13 perlawanan sebelum kemenangan 2-0 di Leicester minggu lalu yang secara realistik menamatkan harapan mereka untuk menambah kejuaraan liga berturut-turut yang belum pernah dicapai sebelum ini.
Erling Haaland menjaringkan dua gol selepas gol sendiri, Vladimir Coufal memberi City kelebihan.
Phil Foden menambah gol keempat dan gol sagu hati dari Niclas Fuellkrug tidak memberi sebarang sinar buat tuan rumah.
Namun, Guardiola menolak pandangan bahawa City yang berada di tempat keenam kini kembali ke prestasi terbaik mereka selepas memperbaiki kedudukan dengan perbezaan dua mata dari empat teratas EPL.
“Saya gembira kerana kami menang tetapi kami masih tidak seperti dahulu atas pelbagai sebab. Keputusan ini membantu. Kami berjuang dan ia satu kelegaan.
“Kami bernasib baik dengan gol pertama, mereka lebih baik pada minit-minit pertama dan kami boleh sahaja ketinggalan 0-1 atau 0-2.
“Gol kedua membantu kami, ia adalah gol yang luar biasa tetapi kami masih tidak seperti dahulu,” kata Guardiola.
Savinho adalah bintang dalam perlawanan itu bagi City apabila hantaran pemain sayap Brazil itu memaksa Coufal melakukan kesilapan untuk gol pembukaan.
Bekas pemain Girona itu kemudian memberikan bantuan kepada kedua-dua gol Haaland, seperti yang dilakukannya kepada pemain Norway itu ketika mereka memastikan kemenangan ke atas Leicester enam hari lalu.
“Dia sangat cemerlang. Dia antara segelintir pemain yang segar.
“Kami bergelut dengan keputusan akhir-akhir ini tetapi dua kemenangan terakhir adalah baik dan kami tidak kalah dalam tiga perlawanan.
“Saya katakan satu setengah bulan (prestasi merudum) berbanding lapan tahun bukanlah sesuatu yang buruk,” katanya. – AFP