Gua Besar Taman Negara Niah dibuka semula esok

Facebook
WhatsApp
GUA Besar Taman Negara Niah dibuka semula kepada pengunjung mulai esok.

NIAH: Gua Besar di Taman Negara Niah, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, akan dibuka semula kepada pengunjung mulai esok, 1 Oktober 2026.

Menurut kenyataan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) hari ini, pembukaan semula berkenaan memberi peluang kepada orang ramai untuk kembali meneroka khazanah alam semula jadi serta warisan sejarah yang terdapat di taman negara berkenaan.

Bagaimanapun, Gua Lukisan masih ditutup buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf laluan di kawasan berkenaan dijalankan.

Pengunjung dinasihatkan mengambil maklum mengenai status pembukaan dan penutupan kawasan berkenaan ketika merancang kunjungan ke Taman Negara Niah.

Taman Negara Niah merupakan antara destinasi warisan penting di Sarawak yang terkenal dengan kompleks gua, landskap semula jadi serta nilai arkeologi yang signifikan.

Pembukaan semula Gua Besar itu dijangka terus menggalakkan kunjungan orang ramai untuk menghayati keindahan, warisan dan keunikan alam semula jadi di kawasan yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO itu.

Oleh Adum Liu