
PUTRAJAYA: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih belum sesuai dilaksanakan semula berikutan nilai ambang pendapatan rakyat masih rendah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika menegaskan perkara itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan tidak menolak sepenuhnya cadangan pelaksanaan semula GST yang juga sistem percukaian efisien dan telus, namun lebih mengutamakan kemampuan rakyat berikutan sistem percukaiannya memberi kesan secara menyeluruh.
“Kita tangguhkan (GST) kerana nilai (ambang) pendapatan rakyat itu terlalu rendah. Pendapat saya kerana orang yang berpendapatan RM2,000, walaupun diberi beberapa pengecualian pun, namun banyak yang terkena (cukai).
“Gula, beras tidak kena tetapi pembelian barang lain atau menaiki bas bagi tujuan itu secara tidak langsung (dikenakan) GST… ini bermakna ia secara menyeluruh,” kata beliau ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Atas alasan itu, Anwar berkata kerajaan berpendapat pelaksanaan semula GST hanya wajar dipertimbangkan apabila purata pendapatan rakyat meningkat ke tahap lebih munasabah iaitu sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan. – Bernama