Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • GSF: Delegasi Malaysia dijadual berlepas pulang ke tanah air Isnin ini
  • SEMASA

GSF: Delegasi Malaysia dijadual berlepas pulang ke tanah air Isnin ini

Utusan Sarawak 4 days ago
PESAWAT yang membawa aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang diserang dan ditahan oleh Israel di perairan antarabangsa, selamat mendarat di Lapangan Terbang Istanbul pada petang tadi. Foto Facebook Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan

SEPANG: Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dan kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel, dijadualkan berlepas pulang ke tanah air pada Isnin ini, kata Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

Beliau berkata kesemua delegasi Malaysia itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 8.40 malam ini waktu Malaysia, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.40 petang menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye.

Beliau berkata ketibaan semua rakyat Malaysia disambut oleh wakil Kedutaan Malaysia di Turkiye, pegawai Wisma Putra serta wakil kerajaan Turkiye, sebelum ditempatkan di hotel di sekitar Istanbul atas jemputan dan tajaan kerajaan negara itu bagi memberikan ruang kepada delegasi berehat sebelum penerbangan pulang.

“Sumud Nusantara menzahirkan jutaan terima kasih dan terharu mewakili seluruh keluarga, delegasi, sekretariat serta rakyat Malaysia yang menjadi pendukung misi ini, atas kepedulian dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan Malaysia, yang berusaha bersungguh-sungguh menggunakan hubungan erat diplomatik antarabangsa untuk rundingan bagi proses mengeluarkan 23 rakyat Malaysia.

“SNCC turut menzahirkan penghargaan kepada keseluruhan jemaah menteri, khususnya Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang banyak memainkan peranan,” katanya pada sidang media di sini malam ini.

Selain itu, Sany Araby berkata empat rakyat Malaysia yang berada di atas kapal pemerhati, Jong serta beberapa individu lain yang ditempatkan di Cyprus dan Jordan berada dalam keadaan baik dan dijangka bergabung dengan delegasi Malaysia di Istanbul sebelum pulang bersama-sama ke tanah air.

Beliau berkata kejayaan membawa keluar semua rakyat Malaysia dari Israel ialah hasil rundingan diplomatik kerajaan Malaysia dengan kerjasama kerajaan Turkiye, Jordan dan Amerika Syarikat.

Beliau turut mengesahkan 137 daripada 462 peserta misi GSF dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia, Jordan dan Malaysia yang ditahan telah berjaya dibebaskan dengan bantuan kerajaan Turkiye.

“Sumud Nusantara mengajak semua pendukung untuk terus mendoakan agar kesemua baki delegasi GSF yang masih dalam tahanan dibebaskan segera,” katanya.

Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Dalam pada itu, Sany Araby mengajak rakyat Malaysia untuk terus bersatu hati dan melaksanakan solat hajat dan qunut nazilah agar perang di Gaza dapat dihentikan segera berpandukan perkembangan positif rundingan antara pihak Hamas dengan rejim Zionis yang sedang berlaku.

Katanya, SNCC sedang merancang gelombang kedua misi kemanusiaan melibatkan bantuan darat secara besar-besaran dari Malaysia ke Gaza sekiranya koridor kemanusiaan Rafah dibuka.

“Ini mesej khas saya untuk seluruh rakyat Malaysia yang menjadi pencinta keamanan, pendukung pembebasan Gaza, Misi Sumud Nusantara dan GSF. Ini menjadi saksi dan bukti besar dalam sejarah yang berjaya membangkitkan gelombang kesatuan,” katanya.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Pesawat bawa aktivis GSF selamat mendarat di Istanbul
Next: Kesemua 23 peserta GSF dari Malaysia selamat, kini di Turkiye – Kementerian Luar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.