
SIBU: Orang ramai dipelawa menyertai program derma darah anjuran Grolite sempena inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu yang dijadual berlangsung pada 24 Ogos ini.
Menurut kenyataan penganjur, program bertemakan Derma Darah Menyelamatkan Nyawa itu akan diadakan dari 9.00 pagi hingga 2.00 petang di Bangunan Grolite, Jalan Tunku Abdul Rahman, berdekatan Daesco Star Mega Mall di sini.
Acara itu dianjurkan dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Sibu serta menampilkan beberapa aktiviti kesihatan percuma hasil kolaborasi bersama Public Medicare Group (PMG) dan HearLIFE Hearing Care Centre.
Antara perkhidmatan saringan kesihatan percuma yang ditawarkan PMG termasuk ujian ketumpatan tulang, tekanan darah, tahap glukosa, komposisi badan dan pemeriksaan kesihatan mata.
Sementara itu, HearLIFE menyediakan saringan pendengaran percuma merangkumi pemeriksaan otoskopik dan audiometri nada tulen.
Penderma darah juga bakal menerima baucar dan hadiah percuma sebagai tanda penghargaan daripada pihak penganjur.
Sehubungan itu, orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui pautan https://forms.gle/Pm7DywQTGdezQkRK8 atau mengimbas kod QR yang disediakan pada poster rasmi program.
Oleh Tarani Lanting