Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Graduan Unimas digesa manfaat ilmu, perkasa pembangunan negeri – Abang Johari
  • PENDIDIKAN

Graduan Unimas digesa manfaat ilmu, perkasa pembangunan negeri – Abang Johari

Utusan Sarawak 10 hours ago
RAKAM KENANGAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bergambar bersama yang lain selepas merasmikan sesi ketiga majlis Konvokesyen ke-29 Unimas di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR), Kota Samarahan hari ini. Foto Japen

KOTA SAMARAHAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menggesa para graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) supaya memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh bagi memperkasa masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan yang diraikan pada konvokesyen hari ini bukanlah penamat sebuah perjalanan, sebaliknya menjadi permulaan kepada bab baharu dalam kehidupan.

“Perjalanan anda tidak berakhir di sini. Hari ini bukan noktah, tetapi permulaan kepada bab baharu kehidupan. Ilmu dan pengalaman yang diperoleh di Unimas adalah bekalan untuk anda menempuh dunia yang sentiasa berubah,” katanya yang juga Pro-Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

PENYAMPAIAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan sijil menyampaikan ijazah kepada graduan pada majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ke-29, Kota Samarahan hari ini. Foto Japen

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sesi ketiga majlis Konvokesyen ke-29 Unimas di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menggesa para graduan agar menjadi pemimpin yang berintegriti dan berjiwa besar, selain menjadikan nilai-nilai yang diterapkan di universiti sebagai panduan dalam setiap tindakan dan sumbangan mereka kepada masyarakat.

“Gunakan ilmu bukan sekadar untuk kejayaan diri, tetapi untuk memperkasa masyarakat dan memulihkan dunia di sekeliling anda. Di mana pun anda berada, biarlah nama Unimas terpahat dalam setiap nilai, tindakan dan sumbangan anda,” ujarnya.

Menurutnya, visi Unimas iaitu ‘Universiti Global Peneraju Kelestarian Masa Hadapan’ serta misinya untuk meningkatkan impak sosial dan ekonomi komuniti global melalui kecemerlangan dalam pengajaran, penyelidikan dan penglibatan strategik menjadi landasan jelas kepada hala tuju universiti.

Sesi ketiga majlis Konvokesyen ke-29 Unimas menyaksikan seramai 575 graduan menerima skrol masing-masing yang disampaikan oleh Abang Johari.

Daripada jumlah itu, 255 graduan terdiri daripada Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FACA) manakala 320 lagi daripada Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FCSIT).

Oleh Amanda L

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Semangat kebersamaan kunci pendidikan berkualiti
Next: Unimas terus perkukuh peranan sebagai pemacu digitalisasi dan kebudayaan Borneo

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.