KOTA SAMARAHAN: Graduan serta seluruh warga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi harapan dalam menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pro-Canselor UNIMAS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, para graduan kelahiran institusi menjadi pemangkin kepada potensi ekonomi digital negeri ini.
“Kami melihat potensi ekonomi digital sebagai pemangkin menarik untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor teknologi dan kreatif,” katanya.
Beliau berucap merasmikan hari keempat Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-28 di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra) UNIMAS di sini, hari ini.
Dalam pada itu ,Uggah turut menyentuh mengenai kerjasama UNIMAS dengan kerajaan Sarawak dalam mendukung Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang jelas menunjukkan komitmen institusi tersebut dalam meningkatkan taraf hidup rakyat di Sarawak.
“UNIMAS telah memainkan peranan besar dalam membantu kerajaan Sarawak mencapai hasrat untuk menjadikan Sarawak sebagai wilayah yang maju menjelang 2030,” ujarnya.
Antara perkara lain yang turut ditekankan termasuk pendigitalan, pembangunan tenaga hijau, pembangunan infrastruktur, autonomi pendidikan, pembangunan sosioekonomi, keterjaminan makanan dan perubahan iklim.
Justeru, Uggah berharap agar UNIMAS akan terus memacu penyelidikan digital, meningkatkan literasi digital rakyat serta menghasilkan graduan berkebolehan tinggi dalam sektor teknologi.
“Dalam hal ini, peranan UNIMAS adalah kritikal dan saya amat menghargai komitmen universiti ini dalam menyediakan program pengajian yang berdaya saing,” ujarnya lagi.
Oleh Noor Ikmal