Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Graduan digalak manfaatkan ilmu sumbang transformasi Sarawak – Uggah
  • PENDIDIKAN

Graduan digalak manfaatkan ilmu sumbang transformasi Sarawak – Uggah

Utusan Sarawak 7 hours ago
DATUK Amar Douglas Uggah Embas berucap pada Majlis Konvokesyen Unimas ke-29, Sidang Ketujuh, di Kota Samarahan, hari ini. Foto Norman B

KOTA SAMARAHAN: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa para graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) agar menggunakan ilmu dan kepakaran yang diperoleh untuk menyumbang kepada agenda transformasi negeri menuju status negeri maju menjelang 2030.

Beliau yang juga Pro-Canselor Unimas berkata, pencapaian universiti itu dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan penglibatan komuniti membuktikan komitmen Unimas dalam melahirkan modal insan berkualiti bagi memenuhi keperluan pembangunan Sarawak.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian Unimas yang sentiasa komited terhadap kelestarian komuniti setempat. Saya berharap kejayaan ini dapat membantu usaha kerajaan Sarawak menjadikan negeri ini maju menjelang 2030,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Unimas ke-29, Sidang Ketujuh, di sini, hari ini.

SEKITAR suasana pada Majlis Konvokesyen Unimas ke-29, Sidang Ketujuh, di Kota Samarahan, hari ini. Foto Norman B

Menurut beliau, pembangunan Sarawak kini digerakkan oleh Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang berteraskan tiga tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi, masyarakat inklusif dan kelestarian alam sekitar.

“Para graduan melangkah ke dalam Sarawak yang bukan sahaja sedang membangun pesat, tetapi juga sedang membentuk masa depannya sendiri negeri yang kukuh ekonominya, inklusif secara sosial dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” ujarnya.

Uggah berkata, Sarawak kini menikmati pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan mampan dengan hasil negeri meningkat hampir dua kali ganda, daripada RM7.6 bilion pada 2021 kepada RM14.2 bilion pada 2024.

“Pertumbuhan ini turut diiringi peningkatan peluang pekerjaan daripada 1.10 juta pada 2021 kepada 1.21 juta pada 2024, manakala kadar pengangguran menurun daripada 4.5 peratus kepada 3.4 peratus. Pendapatan isi rumah median juga meningkat sebanyak 21 peratus kepada RM5,504 sebulan,” jelasnya.

Beliau menambah, kadar kemiskinan di Sarawak kini menurun kepada 8.4 peratus, manakala kemiskinan tegar hampir dihapuskan sepenuhnya pada kadar 0.1 peratus.

SEKITAR suasana pada Majlis Konvokesyen Unimas ke-29, Sidang Ketujuh, di Kota Samarahan, hari ini. Foto Norman B

Di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Sarawak (2026–2030) yang dilancarkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, katanya sebanyak 15 sektor utama akan menjadi tumpuan bagi mempercepat kemajuan ke arah PCDS 2030.

Antara sektor strategik tersebut termasuk teknologi canggih, tenaga hijau dan transformasi digital bagi meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan berimpak tinggi serta memperbaiki kualiti hidup rakyat.

Uggah turut menggariskan beberapa kejayaan utama yang dicapai kerajaan negeri, termasuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang kini mencecah 62 peratus, dengan sasaran mencapai kapasiti 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035, sekali gus memposisikan Sarawak sebagai ‘Bateri ASEAN’.

Selain itu, lebih 45,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kini menerima sokongan dalam bidang pembiayaan, pemasaran dan pendigitalan manakala projek besar seperti jaringan jalan pesisir, Jajaran Utama Kedua Sarawak serta grid bekalan air Sarawak giat dilaksanakan untuk memperkukuh jaringan infrastruktur negeri.

SEKITAR suasana pada Majlis Konvokesyen Unimas ke-29, Sidang Ketujuh, di Kota Samarahan, hari ini. Foto Norman B

Bagi bidang pendidikan pula, katanya kerajaan negeri bersama Unimas, Sarawak Skills dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) sedang mempersiapkan golongan muda untuk mengisi 200,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2030.

“Graduan sekalian, Sarawak yang anda melangkah masuk hari ini adalah negeri yang yakin, bercita-cita tinggi dan terbuka kepada bakat. Gunakanlah peluang ini untuk membantu membentuk Sarawak 2030 dan seterusnya,” ujarnya.

Uggah menegaskan bahawa Unimas mempunyai mandat moral dan strategik untuk terus memperkukuh kekuatan pengajaran, penyelidikan dan penglibatan komuniti bagi menyokong agenda pembangunan negeri.

“Misi kita ialah mengharmonikan kecerdasan buatan (AI) dengan industri hijau, ilmu dengan kemanusiaan demi masa depan Sarawak yang sejahtera,” tambahnya.

Oleh Norman B

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Swinburne Sarawak perkenal program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan pertama
Next: Graduan IPS digalak jana pendapatan sendiri, bukan harap pekerjaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.