Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Graduan digesa hayati sejarah kemerdekaan negara
  • NASIONAL

Graduan digesa hayati sejarah kemerdekaan negara

Utusan Sarawak 3 years ago

KUALA LUMPUR, 11 Ogos -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sijil kepada graduan pada Majlis Konvokesyen ke-17 dan 18 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Pusat Dagangan Dunia hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru para graduan agar sentiasa mengingati dan menghayati sejarah kemerdekaan negara.

Seri Paduka bertitah penghayatan sejarah adalah penting untuk membangkitkan kesedaran dan kecintaan kepada negara serta menghargai nikmat kemakmuran yang dikecapi sekarang.

“Generasi pewaris negara harus sentiasa menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah. Ini kerana manusia yang tidak belajar daripada sejarah akan mengulangi kesilapan sama berulang kali.

“Kerana itu para cendekiawan dunia menyatakan bahawa identiti nasional sesuatu bangsa dan negara ditentukan oleh batasan waktu yang berkait rapat dengan sejarah,” titah Al-Sultan Abdullah dalam titah diraja pada Majlis Konvokesyen Ke-17 dan 18 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini semalam.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hadir sama Pro-Canselor UniKL Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UniKL bertitah pembinaan bangsa Malaysia dapat dicapai menerusi kefahaman dan penghayatan kepada sejarah negara.

“Justeru, usaha-usaha untuk memupuk identiti nasional dan menanam semangat nasionalisme hendaklah bergerak seiringan dengan usaha untuk menghayati sejarah bumi yang dipijak dan tanah tumpahnya darah kita,” titah Seri Paduka.

Sementara itu, Seri Paduka menzahirkan pujian kepada UniKL yang mempelopori pelbagai bidang teknologi baharu seperti tenaga lestari, kenderaan elektrik, data besar,Internet Pelbagai Benda (IoT) dan aeroangkasa.

Seri Paduka bertitah UniKL hendaklah terus meneroka bidang-bidang baharu demi membina keupayaan masa depan masyarakat dan negara sehingga melonjakkan negara setanding negara maju yang lain.

Terdahulu, pada majlis sama Seri Paduka turut memasyhurkan Mahdzir dan Azizah sebagai Pro-Canselor baharu UniKL dan berkenan mengurniakan watikah pelantikan jawatan itu kepada kedua-duanya.

Sebanyak 10,547 graduan terbabit dalam majlis konvokesyen bagi 2020 dan 2021 yang tertangguh selama dua tahun.

Ia diadakan sebanyak 13 sesi bermula semalam hingga 17 Ogos.  – Bernama

Continue Reading

Previous: Kerajaan gesa SPRM segerakan siasatan isu LCS
Next: Sistem rekod markah berpusat antara elemen transformasi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.