TERTARIK … Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melihat peta projek semasa menghadiri Majlis Perasmian Dewan Komuniti Kampung Haji Baki dan Penyerahan Surat Hak Milik Tanah di Kuching semalam. •Foto ANDRE OLIVEIRO
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersedia dan hanya menunggu ‘beduk’ dibunyikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk pilihan raya diadakan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, GPS akan menampilkan calon terbaik.
“GPS sudah bersedia menghadapinya (PRU-15). Kita tunggu ‘beduk bunyi’ saja (pembubaran Parlimen), tapi saya pun tidak tahu bila tarikh pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Dewan Komuniti Kampung Haji Baki dan penyerahan surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Semeba dan Kampung Tematu di Kampung Haji Baki, di sini semalam.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, pihaknya akan menampilkan calon hebat untuk PRU-15 kali ini.
Katanya, dengan kriteria calon hebat itu nanti, suara Sarawak akan lebih kuat dalam Parlimen bagi memperjuangkan hak rakyat di Bumi Kenyalang.
Bagaimanapun, beliau berharap suasana politik di Sarawak terus aman, bukan ‘politik gaduh’ seperti di Semenanjung.
“Jadi pertahankanlah keamanan Sarawak dan kita hantar wakil rakyat yang hebat di Parlimen dalam pilihan raya akan datang.
“Dengan pergolakan antara parti di Semenanjung Malaysia menyebabkan ramai mendesak PRU-15 diadakan lebih awal.
“Ini semua disebabkan oleh mereka di Kuala Lumpur, tidak ada kerja lain bergaduh saja. Nasib baik di Sarawak aman saja.
“Oleh itu, GPS akan mempertandingkan calon yang hebat-hebat pada PRU-15 ini,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA