KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah antara tunggak pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, selain GPS, tiga lagi ialah Barisan Nasional (BN), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Insya-Allah, hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak pastinya lebih akrab dan diperkukuhkan dalam rencana melakar sebuah Malaysia yang lebih baik dan berterampilan,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam coretan di facebooknya hari ini, yang antara lain mengesahkan menerima kunjungan Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediamannya di Kuala Lumpur.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berakhir Sabtu lalu, Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Anwar menang 82 kerusi Parlimen; BN diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 30 kerusi, GPS 23 kerusi, GRS diketuai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (enam kerusi) dan Warisan diketuai Datuk Seri Shafie Apdal (tiga kerusi).
Dalam hantaran itu, Anwar antara lain menulis: “Pagi ini saya menerima kunjungan Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg bersama rombongan di rumah.”
Anwar turut berkongsi gambar pertemuan itu, yang turut dihadiri isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Zahid Hamidi; Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.