SIMANGGANG: Penyaluran peruntukan bagi tujuan pembinaan kemudahan riadah atau aktiviti sosial secara tidak langsung membuktikan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menunaikan janji untuk membangunkan hidup rakyat secara menyeluruh dalam negeri ini.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata usaha itu bukan sahaja dapat memastikan penglibatan rakyat dalam aktiviti sosial malah dapat memperkukuh hubungan perpaduan sesama mereka.
“Selaku parti yang memerintah negeri ini, kita bukan sahaja mahu rakyat memperoleh manfaat daripada hasil projek pembangunan ekonomi dan infrastruktur malah mahu mereka turut menikmati faedah daripada projek mempertingkat tahap sosial hidup.
“Justeru saya berharap agar projek penyediaan kemudahan riadah dan kegiatan sosial yang disalur oleh Kerajaan GPS sebelum ini dapat membantu memperkukuh semangat kerjasama dalam komuniti demi kemakmuran hidup bersama kelak,” kata beliau.
Harden berpesan demikian ketika mengadakan tinjauan terhadap pelaksanaan tiga projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang di sini baru-baru ini.
Selain itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkenaan juga turut memohon kepada rakyat agar sentiasa membuka ‘mata dan telinga’ terhadap usaha pembangunan yang telah dan sedang dilaksana oleh GPS untuk mereka sehingga sekarang.
“Saya memohon kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di sini agar bertindak menerangkan kepada rakyat mengenai sumbangan GPS yang membangunkan hidup mereka selama ini.
“Lagi pun tindakan KMKK mengenai usaha berkenaan adalah amat penting memandangkan mereka merupakan ‘jambatan’ penting yang menghubungkan Kerajaan GPS dan rakyat selama ini,” kata beliau.
Terdahulu Harden dan rombongan telah memantau hasil tiga projek RTP dalam kawasan DUN beliau yang sudah dan sedang dilaksana iaitu naik taraf Dewan Masyarakat Taman Harmoni, bina baharu gelanggang futsal di Temudok Atas dan pemasangan pagar untuk Gereja Methodist, Jalan Paya.
Beliau juga turut meninjau keadaan Surau Darul Hasanah dalam Taman Harmoni dan kemudahan Gelanggang Bola Keranjang di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Fasa 2 di bandar ini.
Oleh VALENTINE NGUMBANG