KUCHING: Tiada sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Itu pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sebaliknya, gabungan empat parti diketuai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu sedia bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden PBB, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, GPS selesa untuk membentuk gabungan kerjasama dengan mana-mana parti politik kecuali PH.
“Kita (GPS) rapat dengan parti lain kecuali PH. Kita rapat dengan BN dan PN, kita pernah bersama dalam kerajaan. Tetapi mungkin tidak dengan DAP,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata demikian selepas majlis perasmian ‘Pocket Talk’ Usahawan 2022 sempena Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini.
PH yang pernah memerintah negara selama 22 bulan selepas PRU-14 pada 2018 dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH). PH dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
BN pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dianggotai UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Abdul Karim bagaimanapun berkata, terpulang kepada pucuk pimpinan GPS yang terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk menjalinkan kerjasama itu.
Katanya, sebarang tawaran bagi pembentukan kerajaan akan diserahkan kepada Premier
Sarawak serta pemimpin-pemimpin tertinggi dari empat gabungan parti dalam GPS.
Beliau berkata, agak sukar untuk satu-satu parti memenangi kemenangan secara mutlak bagi menubuhkan kerajaan selepas PRU-15 nanti.
Katanya, Kerajaan Persekutuan akan dibentuk melalui gabungan beberapa parti dan GPS memainkan peranan yang sangat besar dalam penubuhan kerajaan baharu.
Mengimbau kembali PRU-14, yang mana PH telah memenanginya dan menganggap GPS yang pada ketika itu BN di Sarawak sebagai pembangkang.
“Oleh itu, buat masa itu kita hanya rapat dengan semua parti politik kecuali PH”, katanya.
Dalam pada itu katanya, GPS memerlukan 12 muka baharu kerana kekalahan pada PRU-14 yang lalu.
“Saya beranggapan bahawa peratus muka baharu untuk GPS adalah 30 peratus dan tidak kurang daripada 30 peratus.
“Saya berkata begitu kerana pada PRU-14 kita hanya memenangi 19 kerusi daripada 31 kerusi.
“Jadi kita perlukan 12 muka baharu kerana kita telah kalah 12 kerusi”, katanya.
Beliau yakin GPS yang akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak dapat beroleh kemenangan besar seperti yang dicapai menerusi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Disember lalu.
“Apa yang penting sekarang ialah, saya yakin (GPS) akan menang besar untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil kerana kita memerlukan kestabilan politik,” katanya.