GPS tiada kena mengena dengan UMNO, PAS
Oleh Shahrul Qaizat
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiada kena mengena dengan UMNO dan PAS, kata Ketua Whip GPS, Dato Sri Fadillah Yusof.
Katanya, dakwaan pihak pembangkang kononnya mengundi GPS adalah sokongan kepada UMNO dan PAS adalah tidak benar.
“GPS tidak bergabung dengan mana-mana parti politik di Semenanjung,” katanya selepas majlis Sembang Santai bersama Dato Sri Fadillah Yusof di Dewan Sri Bunga Rampai, di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, GPS bergerak secara solo dengan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) memang suka ‘kelentong’ serta menabur pelbagai janji.
“Mereka akan kelentong macam-macam, dia akan janji macam-macam, tapi pelaksanaan? Jangan nak haraplah. Jangan dengar sangat,”katanya.
Mengenai kerjasama dengan mana-mana parti gabungan selepas PRU-15 pada 19 November ini, beliau berkata tunggu apa berlaku nanti.
“Tunggu selepas PRU) nanti. Selepas selesai PRU barulah kami akan putuskan untuk bekerjasama dengan siapa. Kami akan melihat dari segi siapa yang boleh membentuk kerajaan (persekutuan) yang stabil dan yang bersetuju dengan tuntutan Sarawak,” katanya.
Bagaimanapun katanya, GPS akan menumpukan perjuangan di negeri ini dan akan membuat keputusan untuk bekerja dengan parti mana selepas PRU.
GPS adalah gabungan empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bimiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Pada PRU-14, PBB bertanding di 14 kerusi Parlimen (menang 13 kerusi),
SUPP (7) tapi cuma menang satu, PRS (6) menang tiga dan PDP (4) menang dua.