Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • GPS tegaskan penstrukturan Petronas tiada kaitan dengan usaha Sarawak
  • TEMPATAN

GPS tegaskan penstrukturan Petronas tiada kaitan dengan usaha Sarawak

Utusan Sarawak 9 hours ago
DORIS (tengah) mewakili Ahli Parlimen blok belakang GPS mengadakan sidang media di Parlimen.

KUCHING: Kumpulan penyokong kerajaan bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan bahawa langkah penstrukturan semula dan pelarasan tenaga kerja oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak mempunyai sebarang kaitan dengan usaha Sarawak untuk memperkukuh kawalan terhadap sumber minyak dan gasnya.

Dalam kenyataan media hari ini, kumpulan penyokong itu menjelaskan bahawa perubahan yang sedang berlaku dalam syarikat minyak nasional tersebut merupakan keputusan korporat bebas yang dibuat berdasarkan keadaan pasaran global dan domestik, bukannya dipengaruhi oleh faktor politik atau dasar negeri.

“Tiada sebarang kaitan langsung atau tidak langsung antara keputusan dalaman Petronas dengan usaha Sarawak mengurus serta mengkomersialkan sumber minyak dan gasnya melalui Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

“Sarawak, terus bekerjasama rapat dengan Petronas bagi memastikan kedua-dua entiti memainkan peranan penting dalam memperkukuh ketahanan tenaga negara serta menjamin kepentingan jangka panjang Malaysia,” kata kenyataan itu yang dibacakan susulan sidang media yang diadakan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophie Brodie, di Parlimen hari ini.

Kumpulan penyokong kerajaan GPS turut menegaskan bahawa hubungan antara Sarawak dan Petronas kekal kukuh, strategik serta berpandangan jauh.

“Pelarasan tenaga kerja yang dilakukan Petronas adalah sebahagian daripada strategi penyusunan semula syarikat bagi menyesuaikan diri dengan realiti pasaran semasa dan tidak ada kena mengena dengan hak atau tuntutan perlembagaan Sarawak.

“Komen terbaru yang membandingkan permodalan pasaran DBS Bank dengan nilai jenama Petronas telah digambarkan secara mengelirukan untuk menyalahkan Sarawak.

“Nilai pasaran sesebuah syarikat dipengaruhi oleh dinamik kewangan global dan sentimen pelabur, bukannya oleh dasar tenaga negeri atau pengurusan sumber oleh Sarawak,” jelasnya.

Kenyataan itu menegaskan bahawa Petronas kekal sebagai antara syarikat minyak nasional paling bernilai dan dihormati di Asia Tenggara, dengan asas kewangan yang kukuh, portfolio antarabangsa yang pelbagai serta komitmen berterusan terhadap kemakmuran Malaysia.

Dalam masa sama, usaha Sarawak memperkukuh Petros dilihat sebagai pelengkap kepada kedudukan Petronas, bukannya pesaing.

Kumpulan penyokong kerajaan GPS menyatakan bahawa projek Loji Janakuasa Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri, yang dilaksanakan menerusi kerjasama antara Petros dan rakan kongsi antarabangsa, adalah inisiatif strategik untuk menjamin keselamatan tenaga jangka panjang Sarawak serta memastikan bekalan elektrik yang stabil kepada rakyat dan industri.

Projek berkapasiti 500 megawatt itu turut memberi keutamaan kepada penglibatan tempatan, pemindahan teknologi serta peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak.

Ketika ini, hampir separuh daripada sekitar 400 pekerja di tapak pembinaan loji tersebut terdiri daripada rakyat Sarawak, termasuk juruteknik, jurutera dan penyelia.

Sebanyak 76 juruteknik tempatan telah menamatkan latihan semasa bekerja (OJT) di beberapa loji janakuasa dalam dan luar negara, sebagai persediaan untuk mengendalikan operasi loji itu apabila siap sepenuhnya pada 2027.

Kumpulan penyokong itu menjelaskan bahawa matlamat utama projek ini ialah membangunkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi serta memastikan Sarawak mampu mengendalikan sendiri aset-aset tenaga strategiknya pada masa hadapan.

Dalam kenyataan itu juga, mereka menggesa orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan tidak berasas yang tular di media sosial dan supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat daripada sumber yang sahih.

“Usaha Sarawak untuk mengurus sumber semula jadinya sendiri berpaksikan hak perlembagaan, keadilan dan visi bersama demi kemakmuran Malaysia,” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah

Continue Reading

Previous: Petros tandatangani tiga perjanjian tenaga strategik bersama rakan industri antarabangsa
Next: Eksklusif: Jika benarlah ini ambergris (muntah paus)…

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.