SHAHRUL QAIZAT
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) kemungkinan menambah calon baharu dalam kalangan wanita untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.
Ketua Wanita GPS, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, biarlah nama calon itu diketahui pada hari penamaan calon nanti.
“Yang patah tumbuh, yang hilang berganti sekiranya tidak ada kita semai yang baharu,” katanya berkias mengenai calon wanita muka baharu.
Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti berkata demikian selepas majlis penyerahan simbolik inisiatif kerajaan negeri melalui Kementerian Kebajikan, Wanita dan Keluarga (KKWPK) dan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak(JKMS) di sini, hari ini.
Katanya, setiap bakal calon akan melalui tapisan bagi memastikan calon yang bertanding nanti bersih dan berintegriti.
“Tapisan akan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia(PDRM) dan Jabatan Insolvensi.
“Selain itu, calon yang akan bertanding nanti mestilah calon yang berpotensi untuk menang dan ini bergantung kepada banyak faktor seperti penerimaan rakyat terhadap parti GPS kerana kita bertanding atas tiket GPS,”katanya.
Fatimah berkata, bagi memenangi PRU-15 ini dengan bergaya, perpaduan sangat penting.
“Kita bertanding kerana mahukan kemenangan, oleh itu perpaduan adalah unsur yang sangat penting. Contohnya, tidak kiralah calon itu daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) atau Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang penting mereka bertanding atas tiket GPS.
“Dengan itu sebagai parti yang bergabung dibawah GPS, kita mesti menangkan calon kita. Yang penting kita saling melengkapi dan bekerjasama bagi memenangkan calon kita. Buang dan tolak tepi perkara yang remeh remeh.
“Setiap parti yang bertanding di atas tiket GPS mempunyai aspirasi yang sama iaitu untuk menang,” katanya.