Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • GPS sertai Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan
  • NASIONAL

GPS sertai Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan

Utusan Sarawak 2 years ago
Keadaan Dewan Merdeka yang dipenuhi para peserta bagi mendengar Amanat Perdana oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali, menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan bagi membina kerjasama lebih utuh pada masa depan. FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Tumpuan hari ini terarah ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan bagi membina kerjasama lebih utuh pada masa depan.

Seawal 10.00 pagi, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali membuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan, yang diadakan secara serentak.

Konvensyen Wanita akan memfokuskan kepada agenda ekonomi, pembinaan negara bangsa dan peranan wanita dalam konteks Malaysia MADANI. 

Sementara itu, satu jentera baharu iaitu ‘Geng Perpaduan’ yang melibatkan semua sayap pemuda parti gabungan kerajaan ini akan dilancarkan sempena konvensyen itu bagi memperkukuh kerjasama dan mengatur gerak kerja dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Jentera itu merupakan platform baharu buat pemuda dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan yang dianggotai sayap Pemuda Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan meneruskan agendanya pada pukul 2 petang dengan ‘Bicara Rakyat’ oleh pemimpin-pemimpin parti Kerajaan Perpaduan bagi membicarakan mengenai komitmen dalam menyelesaikan isu rakyat termasuk ekonomi, masa depan pembinaan negara bangsa dan konsep MADANI dalam pelaksanaan agenda rakyat.

Segmen itu terbahagi kepada tiga sesi iaitu Memperkasa Ekonomi Rakyat, Membina Negara Bangsa dan Malaysia MADANI.

Kemuncak konvensyen bertemakan ‘MADANI Mewajahi Masa Depan Malaysia’ itu bermula pada 3.30 petang dengan amanat Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum berakhir dengan deklarasi konvensyen.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, konvensyen berkenaan diadakan bagi memastikan gerak langkah dan hala tuju yang seiring dalam memimpin negara antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, selain bertujuan menentukan pemikiran dan dasar yang sama antara parti.

Penganalisis politik Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, konvensyen itu amat penting dalam memberikan optik positif mengenai kestabilan politik negara sekali gus pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, konvensyen berkenaan bukan sahaja bakal mendapat perhatian pemerhati politik tempatan dan antarabangsa malah mampu membina keyakinan pelabur asing terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Anwar. – Bernama

Continue Reading

Previous: Lebih 2,000 jururawat kontrak diserap ke jawatan tetap
Next: Agong, Permaisuri zahir ucapan Selamat Hari Ibu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.