KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.
Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata, GPS menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.
“GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Kerajaan Malaysia daripada gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
“Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendakhlah dihormati,” katanya.
Semalam, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg enggan memberi sebarang ulasan berhubung kemelut pembentukan Kerajaan Persekutuan yang sedang berlaku sekarang.
“Saya tidak mahu mengulas. Biar Kuala Lumpur yang tentukan,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas perjumpaan bersama Kelab Penyokong GPS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Oleh NUR AIN OTSMAN