KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu mempertahankan semua kerusi sekaligus memenangi dua pertiga daripada semua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang bakal diadakan nanti.
Keyakinan itu disuarakan oleh Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) ketika ditanya pemberita pada sidang media Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) 2 di Dewan Mesyuarat Mulu, Bangunan Baitulmakmur di sini, Selasa lalu.
Ujarnya, ini kerana GPS sentiasa bersiap siaga dan telah lama bersedia untuk ‘beperang’ menjelang pelaksanaan PRN-12 yang bakal diadakan tidak lama lagi.
“Kami bukan sahaja yakin akan memenangi majoriti mudah tetapi juga majoriti dua pertiga. Bagaimanapun, ia tidak sampai ke tahap keangkuhan, GPS tetap menghormati lawan meskipun mereka kecil ataupun parti baharu.
“Kalau anda tak yakin, anda takkan pergi berperang. GPS sudah lama bersedia dan saya tahu pihak lawan juga melakukan perkara yang sama,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Penyandang Asajaya menyifatkan parti Parti Sarawak Bersatu (PSB) sebagai parti yang mudah menerima sesiapa sahaja yang melompat daripada mana-mana parti politik sebelum ini.
Katanya, tindakan tersebut merupakan ‘politik yang tidak sihat’ kerana akan mencetuskan perbezaan fahaman dan ideologi sehingga boleh menggoyahkan kekuatan dalam sesuatu parti.
“Apabila mereka berkumpul dalam satu parti, kita tidak akan dapat parti yang bagus kerana setiap orang akan mempunyai ideologi sendiri mengenai tanah hak adat (NCR), pandangan berbeza berhubung alam sekitar, bantahan projek jalan pantai, persaingan perebutan kuasa dalam parti sebelum ini dan sebagainya.
“Secara peribadi bagi saya, amat sukar untuk kita meletakkan harapan kepada pemimpin seperti itu untuk mentadbir negeri ini,” tegasnya.
Pada masa yang sama, beliau turut mengecam tindakan veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang kerana mendakwa peratusan pengundi yang akan keluar mengundi pada PRN Melaka akan mencatatkan kadar serendah 30 peratus.
Tegas Karim, Lim Kit Siang sebaliknya harus memanggil pengundi di setiap kawasan untuk keluar mengundi kerana ia sepatutnya menjadi cara untuk ‘mengesahkan’ (legitimate) pentadbiran kerajaan, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.
Bercakap mengenai PRN Sabah yang telah membawa kepada lonjakan besar kes Covid-19 di seluruh negara tahun lalu, Karim berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini lebih bersedia dan belajar daripada peristiwa itu.
Disebakan itu katanya, SPR telah menghasilkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat bagi pelaksanaan PRN di Melaka nanti selain berpendapat kos pelaksanaan PRN di Sarawak kali ini akan melibatkan kos tertinggi berikutan SOP yang dilaksanakan nanti.
Oleh SYAMIMI HUSNA