
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berada dalam keadaan bersedia sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak diadakan pada bila-bila masa, termasuk pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, prestasi serta rekod perkhidmatan yang ditunjukkan oleh GPS membolehkan rakyat menilai sendiri keupayaan gabungan itu dalam mentadbir Sarawak.
Menurut beliau, pendekatan GPS yang sentiasa bekerja untuk rakyat tanpa menunggu musim pilihan raya merupakan antara kekuatan utama gabungan tersebut.
“GPS bekerja bukan kerana pilihan raya. Kita bekerja untuk rakyat sepanjang masa, manakala pilihan raya hanyalah ruang untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak serta Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika ditemui media selepas ziarah kasih warga emas dan menyampaikan sumbangan bakul makanan di Kampung Sungai Tengah, Jalan Matang, di sini, hari ini.
Mengulas pertanyaan berkaitan kemungkinan beliau bertanding dalam PRN DUN akan datang, Fadillah enggan mengulas lanjut dan menyifatkan perkara tersebut sebagai bersifat hipotesis.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menziarahi tiga keluarga di kawasan Tupong yang berdepan masalah kesihatan kronik.
Pada lawatan tersebut, beliau yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzaruddin Abdul Rahman, turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada keluarga terlibat.
Oleh Shikin Mahmud