
PETRA JAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memperkukuh peranan di peringkat akar umbi bagi membantu menerangkan pelbagai inisiatif kerajaan kepada rakyat di seluruh negeri.
Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Martin Ben berkata, perkara itu dipersetujui hasil perbincangan bersama sayap pemuda parti-parti komponen GPS termasuk PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Menurut beliau, tumpuan utama pergerakan Pemuda GPS adalah untuk turun padang dan menyampaikan maklumat berkaitan dasar serta inisiatif pembangunan kerajaan, khususnya kepada masyarakat di kawasan luar bandar.
“Kita sama-sama membantu turun padang dan menerangkan semua inisiatif kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Khas Pemuda GPS, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan perancangan program bersama, termasuk kemungkinan menganjurkan jelajah atau roadshow GPS dalam masa terdekat.
Martin turut memaklumkan bahawa pergerakan Pemuda GPS mengalu-alukan pelantikan ketua-ketua pemuda baharu bagi penggal 2025 hingga 2027 dalam kalangan parti komponen.
Dalam pada itu, beliau berkata pergerakan pemuda akan memainkan peranan penting sekiranya Sarawak berdepan pilihan raya negeri, selaras dengan hala tuju dan panduan kepimpinan GPS.
Menurut beliau, pemuda parti-parti komponen GPS sentiasa berada di lapangan bagi melaksanakan program serta membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing.
Oleh Shikin Mahmud