KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri (PM) Kerajaan Persekutuan baharu membabitkan empat gabungan parti.
Gabungan itu adalah Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selain GPS.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagaimanapun berkata terserah kepada keputusan muktamad Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa Perdana Menteri, esok.
“(Tetapi) GPS pilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” katanya pada sidang media khas sejurus selepas mempengerusikan pra-persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ibu Pejabat PBB Jalan Bako, Petra Jaya sebentar tadi.
Berdasarkan statistik dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) awal hari ini, PN mempunyai 73 kerusi, BN 30, GPS 22 dan GRS 6. Ini bermakna, gabungan ini memiliki 131 kerusi Parlimen, kurang 17 kerusi untuk mencecah angka majoriti dua pertiga iaitu 148 kerusi.
Abang Johari yang juga Premier Sarawak menemui Muhyiddin di Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut Abang Johari, pada tahap situasi politik sekarang semua pihak harus mengetepikan pandangan masing-masing kerana pembentukkan kerajaan adalah lebih penting
Katanya, GPS dan GRS adalah blok Borneo untuk bersama PN dan BN.
Ketika ditanya sama ada Muhyiddin yang pernah menyandang jawatan Perdana Menteri sebelum ini, menawarkan apa-apa kepada GPS, beliau berkata perkara itu kemudian dan ini bukan soal tawar menawar.
“Paling penting adalah negara dan rakyat sekarang. Rakyat dah bagi mandat dan kerja kita adalah untuk menubuhkan kerajaan berasaskan mandat yang sudah diterima.
“Segala tawaran (jawatan Timbalan Perdana Menteri) atau apa, nantilah. Rakyat lebih penting. Tahun depan kita akan mengalami inflasi.
“Jadi GPS kita utamakan rakyat, utamakan kepentingan Sarawak,” katanya.
Mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abang Johari menyatakan beliau ada menghantar mesej tapi tiada sebarang perjumpaan setakat ini.
“Semua mahu jumpa saya, orang kacak,” katanya berseloroh.
PN pimpinan Muhyiddin adalah gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
BN) pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dianggotai UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
GRS pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dianggotai BERSATU Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).