KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu membuat penilaian sebaik-sebaiknya dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Ketua Whip GPS, Dato Sri Fadillah Yusof, berkata ia penting bagi memastikan pembentukan kerajaan baharu sebagai persediaan negara menghadapi krisis kegawatan ekonomi dan politik pada masa akan datang.
“Dengan senario politik dunia menyebabkan keadaan kini tidak menentu sehingga kedudukan ekonomi dan inflasi yang berlaku di Amerika Syarikat turut memberi impak kepada Malaysia.
“Kita akan berdepan dengan cabaran besar dari segi politik yang tidak stabil dan ekonomi dunia yang tidak menentu,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan teh dan kesyukuran bersama Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di Hotel Samudera, petang ini.
Fadillah juga berkata, langkah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abanh Johari Tun Openg memperkenalkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) merupakan langkah ke hadapan yang disusun untuk membangunkan ekonomi Sarawak.
“Kita kena bersedia. Sebagai contoh ketika menghadapai krisis terdahulu dimana banyak peruntukan Sarawak telah dibatalkan.
“Oleh kerana bajet kukuh Sarawak, beberapa projek yang dibatalan dapat diteruskan.
“Dalam hal lain, Sarawak terus menekankan usaha untuk mewujudkan pendidikan percuma kepada anak Sarawak pada masa akan datang. Sebab itulah, Premier Sarawak menubuhkan ‘Dana Kekayaan Kedaulatan’ untuk rakyat,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA