SARIKEI: Gabungan Parti Sarawak (GPS) lahir setelah tumbangnya Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan parti tunggal anak Sarawak yang memperjuangkan hak Sarawak.
Ketua Cawangan PBB Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh berkata, rakyat Sarawak juga menyaksikan bagaimana GPS dengan acuannya sendiri membangunkan Sarawak.
“Projek rakyat daripada BN yang ditarik balik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika itu juga dilaksanakan semula oleh GPS untuk rakyat.
“Kekalahan BN kepada PH dalam PRU Ke-14 telah membawa hikmah besar dalam senario politik khususnya di N 41 Kuala Rajang.
“Ia juga telah membuka minda rakyat terhadap suasana sebenar apa yang berlaku dalam politik negara ini,” katanya ketika ditemubual pemberita di sini petang semalam.
Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, kekalahan itu juga mendedahkan siapa kawan, siapa lawan dan siapa sebenarnya musuh dalam selimut dalam sesebuah parti.
“Sepanjang tempoh 22 bulan itu, kita lihat ada yang berpaling tadah dan keluar parti.
“Namun kita tidak dapat menghalang kerana ia adalah pilihan mereka. Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang khasnya, kita dapat melihatnya dengan sangat jelas,” ujarnya.
Jelas Len, melalui pelbagai perkara dalam dunia politik yang berlaku sepanjang 22 bulan itu, ia juga satu kelebihan kepada parti PBB kerana mereka yang setia dan betul-betul berjuang untuk parti masih setia bersama PBB dalam mengharungi senario politik.
“Ini kerana barisan yang tertinggal adalah yang terbaik dan setia dalam perjuangan parti.
“Rakyat Sarawak beruntung kerana mempunyai GPS yang benar-benar berjuang membela nasib mereka.
“Oleh kerana itu, saya sangat berharap rakyat Sarawak akan mengambil iktibar dengan tidak lagi memilih kerajaan yang salah sekali gus mengulangi kesilapan yang serupa,” tambahnya.
Dalam pada itu, Len menasihatkan pemimpin masyarakat supaya menerima teguran dengan fikiran terbuka.
“Bagaimanapun, sebagai pemimpin mereka perlu berani menegur jika kritikan itu dibuat melalui saluran yang salah dan berbaur hasutan untuk memecah belahkan masyarakat.
“Pemimpin datang silih berganti, begitu juga dengan saya. Saya sendiri tidak tahu sama ada saya akan dipilih semula bertanding atau sebaliknya.
“Apa yang paling penting ialah kita sayang parti PBB dan GPS. Walau apa yang berlaku, kita mesti setia dan bersatu mempertahankan parti kita dalam memperjuangkan parti,” katanya lagi.
Tambahnya, politik Sarawak kini berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kewujudan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan lain-lain lagi.
“Kita perlu terima hakikat tersebut dengan hati yang terbuka. Malah kita bersedia untuk bersaing secara sihat,” ujar beliau.
Katanya lagi, kerjasama GPS dengan Perikatan Nasional (PN) juga memberi manfaat besar kepada GPS terutama dalam usahanya untuk terus menyalurkan pembangunan kepada rakyat Sarawak.