
SRI AMAN: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan melaksanakan inisiatif pendidikan tinggi percuma mulai tahun hadapan bagi memastikan lebih ramai anak Sarawak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti tanpa dibebani kos kewangan.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, pelaksanaan dasar berkenaan merangkumi pemberian elaun tahunan sebanyak RM15,000 kepada anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di universiti milik Sarawak sebagai sokongan kepada perbelanjaan sara hidup dan pembelajaran.
Menurut beliau, langkah itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan GPS dalam memperkasa modal insan tempatan serta memastikan pendidikan tinggi dapat diakses secara saksama oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang negeri. Melalui pendidikan tinggi percuma dan elaun ini, kita mahu memastikan anak Sarawak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian tanpa perlu risau tentang kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Graduasi Prasekolah dan Apresiasi Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sebangkoi, dekat sini baru-baru ini, sambil menzahirkan harapan agar inisiatif berkenaan dapat melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga pendidik SK Sebangkoi atas komitmen dan dedikasi mereka dalam membentuk sahsiah serta kecemerlangan murid.

Menurut beliau, kejayaan graduan hari ini adalah hasil kesungguhan para guru yang sabar membimbing dan memastikan setiap murid diberi peluang berkembang mengikut potensi masing-masing.
Ucapan tahniah juga turut disampaikan kepada para graduan sebagai dorongan untuk terus mencapai masa depan yang cemerlang.
Doris turut menggesa agar semua pihak peka terhadap isu disiplin seperti buli dan bibit gangsterisme.
Beliau menekankan bahawa keselamatan murid memerlukan kerjasama sekolah, ibu bapa dan komuniti bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan harmoni.
Oleh Adi Safarman