KUCHING: “GPS menang Zahid senang”.
Itu antara kata-kata terpampang pada kain rentang, dipercayai dipacak oleh parti pembangkang di tepi jalan utama di bandar raya Kuching dengan turut meletakkan lambang roket DAP.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Fadillah Yusof berkata ia bukti Pakatan Harapan (PH) ketandusan idea dan cuba mengelirukan pengundi di negeri ini.
“Mereka sebenarnya ketandusan idea sebab itu mereka cuba menanam sentimen yang tidak betul.
“Malah mereka berusaha sedaya upaya untuk memutar belit fakta dan cuba memberi gambaran negatif terhadap perjuangan GPS untuk Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Santai bersama belia dan beliawanis Satok di Kedai Ais Kacang Swee Kang, di sini petang tadi.
Paparan poster itu membei sindiran kononnya mengundi GPS untuk menang adalah umpama mengundi untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masih berdepan kes rasuah di mahkamah.
Namun, GPS sebenarnya tidak terikat dengan mana-mana parti gabungan di Semenanjung, sebaliknya bertanding secara solo.
Fadillah turut mengingatkan bahawa orang ramai tidak harus keliru dengan tipu muslihat politik itu kerana ia memang kepakaran PH.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama dengan mana-mana pihak yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, Fadillah berkata ia tidak bermakna menghadapi pilihan raya ini untuk bekerjasama dengan BN sahaja.
“Selepas pilihan raya, kita (GPS) bekerjasama dengan siapa yang dapat mewujudkan kestabilan (politik) negara dan siapa yang akan dapat memenuhi kehendak serta tuntutan hak-hak Sarawak.
“Itu nanti akan kita putuskan kemudian,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA