KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih menunggu keputusan Yang di-Pertuan Agong mengenai gabungan mana layak memerintah dan menamakan Perdana Menteri ke-10.
Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebarang tindakan yang akan diambil GPS akan bergantung kepada keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Tengoklah, saya belum tahu keputusan Agong lagi. Saya tidak tahu (keputusan BN). Saya (masih) lagi di Dewan (DUN),” katanya semasa ditemui pemberita di bangunan DUN Sarawak di sini, petang ini.
Ahad lalu, GPS mengumumkan persetujuan untuk membentuk gabungan bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan dengan memilih Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan.
Naib Presiden UMNO itu menerusi catatan ringkas di laman Facebook memaklumkan setakat ini, BN bersetuju menjadi pembangkang.
GPS ialah gabungan empat parti tempatan Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, GPS memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini.