LIMBANG: Segala keluhan dan permohonan rakyat akar umbi diluar bandar sentiasa mendapat perhatian Wakil Rakyat daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk dibawa kepada pihak atasan.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail menegaskan kerajaan sentiasa berusaha untuk melaksana pembangunan infrastruktur asas secara berterusan seperti yang diperlukan rakyat.
Justeru, pemantauan selain perkembangan projek dibawah Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) kerap dilakukan di Limbang sebaik pihak mendengar keluhan dan permohonan tambahan yang disuarakan rakyat di pedalaman.
Kebanyakkan permohonan dan keluhan adalah menjurus kepada berbagai projek kemudahan asas.
“Selain memantau perkembangan projek RTP yang sedang giat dilaksanakan, kita juga mendengar permohonan tambahan yang disuarakan penduduk.
Memang ada permohonan yang diperlukan rakyat termasuk menaik taraf dewan, surau dan kemudahan lain dan semua ini kita ambil maklum untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa,”katanya ketika ditemui media ketika memantau perkembangan projek RTP di Kampung Lubuk Piasau, Lubuk Sigantang, Kampung Ipai dan Merasam hari ini.
Mengiringi beliau ialah Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Latip, dan Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mahathir Jokeni.
Seterusnya ADUN Bukit Kota itu menjelaskan aspek penyelenggaraan terhadap kemudahan yang dibina seperti dewan, surau dan kemudahan lain penting bagi memastikan ianya dapat digunakan.
Oleh itu semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu menjaga dan menyelenggara kemudahan yang dibina kerajaan.
“Kalau boleh kita tidaklah perlu menunggu ianya rosak baharu diperbaiki untuk menjimatkan kos membaik pulih,”katanya.
Selain itu kemudahan tersebut ujarnya perlu dimanfaatkan untuk penduduk kampung meningkatkan ekonomi, pendidikan selain tempat merapatkan hubungan antara penduduk.
Katanya banyak projek RTP yang sudah dibina sejak 2016 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota.
“Ada kawasan yang dulunya tidak mempunyai jalan raya kini boleh dihubungkan melalui rangkaian jalan raya.
“Kemudahan jalan raya ini penting bagi membuka lebih banyak pembinaan kemudahan asas lain seperti dewan, surau dan jalan simen ke rumah-rumah,” ujarnya Dr Abdul Rahman melakukan tinjauan projek naik taraf gelanggang futsal di kampung Lubuk Sigantang dan mendengar sendiri segala keperluan lain yang dipohon oleh penduduk kampung melalui suara Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat.
Oleh ADENG EDRUS