AMANAT… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah
Kecemerlangan Industri Ketua Menteri Ke-3 (CMIEA) 2021 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.
• Foto JABATAN PENERANGAN NEGERI SARAWAK
KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mengekalkan komitmennya hasilkan iklim yang sesuai untuk pelaburan melalui dasar mesra perniagaan dan inisiatif bagi meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan asing dari (bukan dan) pelbagai negara telah menunjukkan petunjuk untuk melabur di Sarawak atau mengembangkan pelaburan sedia ada mereka di negeri ini.
“Hal ini kerana, Sarawak dapat memberikan keadaan yang selamat dan persekitaran kondusif untuk melabur atau melabur semula,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri Ke-3 (CMIEA) 2021 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Tambahnya, terdapat peningkatan pelaburan semula di Samajaya Zon Perindustrian Berteknologi Tinggi, cadangan untuk pengeluaran hidrogen dan aktiviti gas hiliran di Tanjong Kidurong, Bintulu dan SHELL telah memberikan beberapa komitmen untuk menempatkan semula ibu pejabat ke Miri.
“Ini semua tanda ada kepercayaan terhadap kemampuan Kerajaan Sarawak di bawah GPS untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan di Sarawak,” ujarnya.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak akan terus mempelbagaikan ekonomi dengan tumpuan khusus kepada pemodenan pertanian, pengukuhan infrastruktur, memajukan pelancongan dan mempercepatkan pembangunan modal insan seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Kawasan pedalaman kita masih kurang dibangunkan, oleh itu semakin pesat transformasi luar bandar dengan pelaksanaan pelbagai jurusan kerja-kerja infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan, kemudahan awam dan kemudahan asas adalah kunci untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan merangsang permintaan.
“Ini bukan cakap kosong sebagai tugas untuk menghubungkan kawasan luar bandar yang mempunyai infrastruktur jalan raya yang baik dan asas-asas lain kemudahan diletakkan di bahu RECODA yang peranannya telah diperluaskan untuk memasukkan pembangunan dalam URDA, HRDA dan HDA dengan jumlah peruntukan sebanyak RM4.5 bilion,” katanya lagi.
Ujar Abang Johari, Kerajaan GPS di bawah pimpinannya juga telah berkembang hasil melalui ‘kejuruteraan semula hasil’ supaya negeri boleh mempunyai fleksibiliti fiskal dalam menguruskan sumber kewangan dan dalam menyusun strategi agenda pembangunannya.
“Ini akan membolehkan negeri melaksanakan projek infrastruktur dan kemudahan asas di seluruh negeri dengan cepat dan pada masa yang sama membina rizab yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Strategi ini penting dalam memenuhi objektif kami untuk mempercepatkan pembangunan dalam negeri bagi memastikan keseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar,” jelasnya.
Katanya, lebih banyak kawasan akan dibuka untuk aktiviti ekonomi yang produktif yang akan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih besar.
“Saya yakin ini akhirnya akan meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.
“Walaupun kami telah memperkenalkan banyak inisiatif untuk menerajui ekonomi baharu, sektor swasta juga mesti sepenuhnya terlibat dalam memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Kunci untuk merealisasikan Sarawak sebagai sebuah ekonomi maju 2030 ialah penglibatan perniagaan Sarawak dalam melabur dalam projek di Sarawak,” ujarnya.
Jelasnya, Kerajaan Negeri berusaha menggalakkan keusahawanan dan pelaburan dalam kalangan rakyat Sarawak yang berminat untuk membangun dan melaksanakan projek mereka.
“Dalam hal ini, Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) memainkan peranan penting dalam penyelarasan hubungan antara komuniti perniagaan dan Kerajaan Negeri sambil kita bekerjasama dalam menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN