DARO: Penduduk tempatan disaran untuk berdiri teguh di belakang Kerajaan Sarawak sedia ada demi kesinambungan pembangunan negeri ini.
Dalam membuat seruan tersebut, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, berkata hanya kerajaan yang stabil dan teguh mampu membawa pembangunan Sarawak ke tahap yang tertinggi.
“Jadi, untuk memastikan negeri kita maju ke depan, kita harus kekalkan kerajaan negeri sedia ada kerana Kerajaan Sarawak adalah kuat dan stabil. Dan kalau kita bercakap mengenai menjaga hak kita, lain tak bukan, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) inilah yang berbuat demikian dan bukan parti-parti yang datang dari luar,” katanya.
Justeru katanya, sokongan daripada rakyat amatlah penting dan kestabilan itu bergantung kepada perpaduan di kalangan rakyat.
“Dalam Kerajaan Negeri Sarawak tidak istilahnya kaum majoriti. Kita hanya berkerjasama untuk menjadi majoriti. ‘We are one Sarawakians’…warga negara Malaysia. Di negeri ini Majlis Islam jaga masyarakat Islam dan UNIFOR untuk komuniti lain dan ia untuk memastikan kita terus hidup dalam keadaan damai dan harmoni,” ujarnya.
Tambah Tengah, kegagalan parti dari luar untuk membela negeri ini terbukti semasa pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan(PH).
“Semoga kerajaan negeri terus kukuh untuk membina masa depan yang lebih baik bagi rakyat termasuk generasi akan datang. Kerjasama yang jitu dan politik kukuh adalah kerajaan negeri sedia ada, jadi sokonglah GPS.
“Parti dari semanjung seperti DAP dan PKR, mereka berjanji macam-macam apabila berpeluang memerintah selama 22 bulan tetapi mereka gagal menunaikannya termasuk royalti minyak 20 peratus dan sebagainya.Malah, bantuan sarana hidup nelayan pun dipotong yang hanya membantu kita ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan gabungan daripada GPS ini,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli II Dan Menteri Perdangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian & Pembangunan Usahawan, turut menggelarkan PH sebagai tukang potong dan ‘cancel(membatal).
“Bukan hanya tidak dapat menunaikan janji, malah mereka memotong atau membatalkan projek-projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat. Namun, kita bersyukur, Kerajaan GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri sekarang telah mengambil alih projek-projek tersebut. Sejak beliau mengambil tampuk pimpinan negeri tiga tahun yang lalu banyak projek dan insentif telah dilaksanakan demi untuk pembangunan negeri dan rakyat Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkta demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan Masyarakat Daro dan Penyampaian Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN dan Warta Seksyen 6 KTN di Dewan Masyarakat Daro, semalam.
Justeru, Tengah mengingatkan bahawa kemunculan parti baharu tempatan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 ini yang kononya memperjuangkan hak Sarawak.
“Dekat pilihan raya ada muncul parti baharu, kononnya memperjuang hak Sarawak, namun selepas PRN mereka tak ada lagi. Jadi untuk memastikan negeri maju kehadapan serta menjaga hak, kita harus kekalkan kerajaan negeri sedia ada.
“Kita harus melihat lebih jauh apa telah dirancang untuk masa depan anak Sarawak dan harus bersatu untuk mengekal perpaduan selain ketepikan perkara remeh-remeh kerana yang penting kita semua masih bersama GPS,” tegas Tengah.
Oleh Henry Siyu