AKUN GIMAN
KAPIT: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menganggap tempoh 14 hari untuk berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah mencukupi.
Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, berkata tempoh dua minggu ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu juga sesuai dengan keadaan di luar bandar di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai perhubungan jalan raya sempurna, menyukarkan jentera parti untuk berkempen.
“Jadi tempoh masa 14 hari itu adalah tempoh masa yang sangat sesuai, tidak terlalu singkat dan tidak terlalu panjang masanya. Ia akan memberi ruang dan peluang kepada pengundi lebih-lebih lagi pengundi di luar kawasan untuk balik menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” katanya ketika diminta mengulas pengumuman SPR mengenai tarikh penting PRU-15 di sini, sebentar tadi.
SPR hari ini menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU-15, manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November selain hari pengundian awal pada 15 November ini.
Mengenai strategi GPS menghadapi PRU-15, Nanta yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata GPS boleh dikatakan selama ini sentiasa bersedia menghadapinya.
“Bagi GPS strategi kita memang boleh dikatakan selama ini sentiasa bersedia. Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan tak sampai setahun pun, jadi memang sepanjang masa selepas PRN yang lalu wakil-wakil rakyat GPS sentiasa di lapangan.
“Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS selalu membantu Ahli Parlimen di lapangan, selain masa mereka perlu berada di Parlimen untuk mesyuarat sepanjang beberapa bulan sejak PRN pada Disember 2021.
“Jadi persediaan kita begitu rupanya. Untuk menghadapi masalah mungkin kita depani musim tengkujuh ini di Sarawak. Memang kawasannya luas, seperti di Kapit memang kita masih menggunakan perjalanan sungai dan bot ke kawasan yang belum ada jalan perhubungan.
“Memang kita tahu cabarannya, tapi kita sudah bersedia dengan segalanya yang diperlukan sejak beberapa bulan sudah, memandangkan ura-ura pilihan raya ini akan diadakan pada musim tengkujuh,” katanya.
Penyandang kerusi Parlimen Kapit itu turut mengingatkan pengundi supaya bersedia secukupnya.
“Maksudnya, apabila mereka telah diberitahu nanti menerusi notis-notis yang diedarkan iaitu masa dan tarikh mengundi, mereka sepatutnya bersedia sampai ke tempat itu.
“Tapi nampaknya selama ini di kawasan pendalaman selalunya tempat mengundi diletakkan di tempat yang sesuai di mana kampung-kampung atau rumah panjang berhampiran boleh pergi ke sekolah-sekolah di kawasan tersebut dengan mudah.
“Jadi saya tidak nampak terlalu banyak masalah, kalau ada pun musim tengkujuh ini kita bersedia, GPS bersedia, seharusnya sesiapa yang bertanding haruslah bersedia untuk membantu pengundi bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
Terdahulu, Nanta menyempurnakan penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera di Bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan cek pampasan tanah bagi projek pembinaan Kolej Professional Mara Kapit, hari ini.
Seramai 18 pemilik tanah menerima cek pampasan tanah bagi projek pembinaam Kolej Profesional Mara Kapit yang berjumlah RM931,549.30 pada majlis itu.