
LIMBANG: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), dan parti politik tampil menyalurkan bantuan kepada mangsa kejadian rumah runtuh di Kampung Bakol, di sini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata kerajaan negeri akan memperuntukkan RM85,000 bagi membina semula rumah mangsa, Zakri Zainal, yang musnah dalam kejadian pada 6 September lalu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, berkata pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan, termasuk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal, serta sayap Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Bantuan awal daripada JKM berjumlah RM15,000, manakala Baitulmal turut menyalurkan bantuan makanan dan wang tunai sebanyak RM5,000. Beberapa NGO, persatuan dan parti politik juga tampil membantu meringankan beban mangsa sekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Kampung Bakol, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa PBB menerusi exco Pemuda dan Wanitanya turut menyerahkan bantuan wang tunai kepada mangsa dan empat ahli keluarga lain yang tinggal bersama.
“Kerajaan negeri prihatin dengan kesukaran yang dialami mangsa. Justeru, untuk jangka masa panjang, rumah baharu akan dibina dengan kos antara RM80,000 hingga RM85,000,” jelasnya.
Sementara itu, bantuan awal telah disampaikan oleh pihak JKM sementara menunggu penyelarasan bantuan susulan yang lebih menyeluruh.
Dalam kejadian sekitar 5.30 petang pada 6 September lalu, rumah mangsa runtuh sepenuhnya akibat tanah mendap susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan paras air naik mendadak dan melemahkan struktur tanah di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kerana ketika kejadian mangsa dan keluarganya tidak berada di rumah.
Turut hadir, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pengerusi Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Ketua Kampung Bakol Kassim Adam.
Oleh Adeng Edrus