
KUALA LUMPUR: Negara berhadapan peningkatan kes penyakit gout yang kini menjadi krisis kesihatan awam, berikutan Malaysia merupakan antara negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia.
Sebanyak 4.35 juta orang menghidap gout di Asia Tenggara termasuk Malaysia, dengan jumlah kes penyakit itu meningkat 21 peratus dari 1990 hingga 2020.
Pakar Rheumatologi dan Pakar Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Lydia Pok Say Lee berkata gout boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk penyakit buah pinggang, infeksi dan kehilangan keupayan bergerak sekiranya tidak dirawat.
“Peningkatan kes ini menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran dan intervensi awal.
“Tanda utama serangan gout termasuk sakit sendi dan bengkak secara tiba-tiba tanpa kecederaan, terutamanya pada ibu jari kaki dan mungkin juga menjejaskan buku lali, lutut, siku, pergelangan tangan dan jari.
“Sendi yang terjejas menjadi merah, bengkak dan terasa panas, menjadikan pergerakan amat menyakitkan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan SMC, hari ini.
Gout ialah sejenis artritis keradangan yang asid urik berlebihan dalam darah, yang membawa kepada pembentukan kristal tajam pada sendi, mencetuskan kesakitan yang tiba-tiba pada waktu malam atau awal pagi.
Dr Lydia mengaitkan gout yang dikenali dalam sejarah sebagai “penyakit raja-raja” kerana kaitannya dengan diet mewah, namun gout kini dihidapi oleh semua golongan sosioekonomi dengan tabiat pemakanan moden.
“Peningkatan pengambilan makanan tinggi purina seperti daging merah, makanan laut dan minuman keras meningkatkan paras asid urik dan menyebabkan keradangan,” katanya.
Dr Lydia berkata obesiti merupakan antara punca utama dan Malaysia mempunyai antara kadar obesiti tertinggi di Asia, dengan hampir 50 peratus penduduk mengalami berat badan berlebihan yang menyebabkan kerosakan fungsi buah pinggang, menjadikannya lebih sukar untuk menyingkirkan asid urik.
Beliau berkata faktor penyumbang lain termasuk sindrom metabolik, hipertensi, diabetes dan kolesterol tinggi, selain genetik turut memainkan peranan.
“Sejarah adanya ahli keluarga yang menghidapi gout, meningkatkan kemungkinan untuk menghidap penyakit ini disebabkan oleh mutasi genetik yang mempengaruhi pemprosesan asid urik,” katanya.
Dr Lydia berkata walaupun lelaki pertengahan umur berhadapan risiko yang lebih tinggi, golongan wanita terutamanya mereka yang selepas menopaus dan kanak-kanak boleh menghidap gout.
Mengenai mitos bahawa hanya diet menyebabkan gout, beliau berkata walaupun makanan tinggi purina menjadi menyumbang, penyebab lain seperti genetik, ubat-ubatan dan kondisi kesihatan juga boleh menyebabkan serangan penyakit itu dan jika tidak dirawat, gout boleh menyebabkan kerosakan sendi kronik dan kehilangan mobiliti.
“Mengabaikan gout boleh menyebabkan serangan lebih kerap dan teruk dan sekiranya tidak dirawat, pesakit yang pada mulanya mengalami serangan setiap beberapa bulan, mungkin mula mengalaminya setiap minggu.
“Apabila keadaan bertambah buruk, kesakitan meningkat, serangan berlarutan dengan lebih lama dan pelbagai sendi mungkin terjejas. Kes yang teruk boleh menyebabkan kemasukan ke hospital kerana sakit sendi melampau,” katanya.
Gout secara jangka panjang boleh menyebabkan pembentukan tophi iaitu deposit asid urik yang membentuk di bawah kulit, menyebabkan ketidakselesaan dan kecacatan sendi, yang lama kelamaan boleh merosakkan tisu sendi, menyebabkan masalah pergerakan yang kekal.
Dr Lydia menyarankan mereka yang mengalami serangan gout berulang untuk mendapatkan rawatan perubatan, kerana merawat kesakitan sahaja tidak mencukupi tetapi rawatan jangka panjang untuk menurunkan paras asid urik, penting untuk mencegah komplikasi.
Beliau turut menasihatkan pesakit supaya berbincang dengan penyedia penjagaan kesihatan untuk menyusun pelan yang khusus untuk pesakit.
“Ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup boleh mengawal gout dengan berkesan dan mengurangkan serangan,” katanya.
Beliau berkata dengan diagnosis awal, rawatan yang betul dan penyesuaian gaya hidup, rakyat Malaysia boleh mencegah epidemik senyap itu daripada menjadi bertambah teruk.
-Bernama