
Gout terus mencuri perhatian di Kejohanan Negeri Queensland. Foto AFP
BRISBANE: Bintang pecut remaja Australia, Gout, mencatat larian 200 meter (m) terpantas dunia tahun ini, dengan pelari berusia 17 tahun itu mengakui dirinya berasa ‘benar-benar bebas’ ketika beraksi.
Nama Gout mula mencuri tumpuan Disember lalu apabila mencatat rekod terpantas bagi seorang atlet berusia 16 tahun, mengatasi catatan peribadi legenda pecut Usain Bolt pada usia yang sama.
Masa 20.04 saat (s) yang dicatatnya bukan sahaja mengatasi rekod Bolt, malah memadam rekod kebangsaan Australia 20.06s yang dipegang Peter Norman sejak Sukan Olimpik 1968.
Gout terus mencuri perhatian di Kejohanan Negeri Queensland apabila mencatat 20.05s dalam pusingan saringan – menjadikannya catatan terpantas dunia tahun ini.
Dalam perlumbaan akhir, dia menembusi halangan 20s dengan catatan 19.98s, tetapi ia dianggap tidak sah kerana bantuan angin.
“Saya rasa benar-benar bebas. Dengan baki 80m, saya fikir, mari kita habiskan dengan sepenuh tenaga,” katanya mengenai larian final.
“Hanya ketika itu saya percaya saya mampu mencatat masa bawah 20s.
“Melihat masa di papan, saya gembira dan terkejut pada masa sama. Ia seperti beban hilang daripada bahu saya. Sekarang saya sudah lakukannya, saya hanya perlu mengulanginya secara konsisten.”
Gout yang dilahirkan di Australia selepas ibu bapanya berhijrah dari Sudan Selatan, sudah mula dibandingkan dengan juara Olimpik lapan kali, Usain Bolt, kerana larian penuh bertenaga.
Presiden Olahraga Dunia, Sebastian Coe, turut mengakui bahawa Gout adalah bakat luar biasa tetapi menegaskan ‘dia perlu dijaga dan dibimbing dengan baik’.
Gout kini dua kali mengatasi had kelayakan 20.16s untuk Kejohanan Dunia tahun ini di Tokyo, membuktikan dia bersedia untuk pentas lebih besar. – AFP