
SIMANGGANG: Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu Simanggang akan menganjurkan satu program Gotong-Royong Perdana pada 25 Mei (Ahad) bermula 8.00 pagi.
Menurut Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Kipli@Bolhi Jol berkata program ini bertujuan untuk membersihkan, menceriakan dan menyelenggara kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu yang menjadi tempat persemadian utama umat Islam setempat.
Sehubungan itu katanya semua penduduk kampung serta waris adalah dijemput hadir dan bersama-sama menjayakan program ini nanti.
“Jawatankuasa penganjur menggesa semua peserta agar membawa peralatan gotong-royong yang sesuai seperti cangkul, penyapu, parang, pemotong rumput dan lain-lain keperluan pembersihan.
“Selain daripada itu, para hadirin juga digalakkan membawa sedikit juadah untuk dikongsi bersama selepas selesai program sebagai tanda ukhuwah dan kebersamaan,” katanya.
Menurut Kipli, penganjuran gotong-royong ini bukan sahaja bertujuan menjaga kebersihan dan kesucian tanah perkuburan, malah sebagai usaha menyemai nilai tanggung jawab bersama dalam kalangan masyarakat Islam terhadap tempat persemadian para arwah yang telah mendahului kita.
“Ini juga merupakan salah satu bentuk khidmat kepada agama dan masyarakat, di samping menyatukan hati-hati umat Islam melalui kerja bersama yang penuh keberkatan,” ujar beliau yang juga Kampung Kampung Hulu Lemanak.
Sementara itu, Ketua Kampung Lemanak, Jamali Hamden turut menggesa khususnya golongan belia untuk mengambil peluang menyumbang tenaga dalam program ini.
“Saya amat mengharapkan penglibatan belia dalam gotong-royong ini. Inilah masanya mereka menunjukkan semangat kesukarelawanan, belajar menghormati warisan dan nilai agama dalam masyarakat,” katanya.
Oleh Adi Safarman