
SARIKEI: Semangat kebersamaan dan kerjasama komuniti terus disemarakkan menerusi program gotong-royong yang melibatkan anggota bomba bersama pihak Masjid Ar-Rahmah dan Masjid Al-Muttaqin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, program yang bermula dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari tersebut melibatkan lapan anggota pasukan Alpha BBP Sarikei.
Katanya, seramai 100 peserta mengambil bahagian dalam gotong-royong, terdiri daripada 45 orang dari Masjid Ar-Rahmah dan 55 orang dari Masjid Al-Muttaqin.
“Program gotong-royong ini mencerminkan semangat kerjasama antara jabatan dan komuniti dalam memastikan kawasan rumah ibadat sentiasa bersih dan selesam
“Usaha secara berganding bahu seperti ini bukan sahaja mewujudkan persekitaran yang kondusif, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota bomba dan masyarakat,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Katanya, aktiviti yang dijalankan meliputi kerja-kerja gotong-royong membersihkan kawasan masjid serta pembersihan menggunakan semburan air bertekanan tinggi pada bahagian luar bangunan dan persekitaran masjid.
“Usaha ini merupakan persiapan bagi memastikan kedua-dua masjid berada dalam keadaan bersih, kemas dan selesa untuk penganjuran Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian dan lawatan konvoi bermotosikal oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Penglibatan aktif anggota bomba dan pihak masjid membuktikan semangat kesukarelawanan serta keprihatinan masyarakat dalam menjaga kebersihan kemudahan awam dan rumah ibadat,” katanya.
Beliau berharap budaya gotong-royong akan terus diperkasakan kerana bukan sahaja mencantikkan persekitaran, malah memperkukuh perpaduan, semangat muafakat dan hubungan erat antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat.
Oleh Earl Anek