Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Gotong-Royong Perdana KJM N7 Samariang pupuk budaya kebersihan, kitar semula
  • TEMPATAN

Gotong-Royong Perdana KJM N7 Samariang pupuk budaya kebersihan, kitar semula

Utusan Sarawak 3 weeks ago
RAKAM KENANGAN... Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali merakam kenangan bersama peserta Program Gotong-Royong Perdana 2026 KJM N7 Samariang di Kampung Sungai Bedil Besar.

PETRA JAYA: Program Gotong-Royong Perdana 2026 Kejiranan Mesra (KJM) N7 Samariang berjaya menghimpunkan kira-kira 150 penduduk Kampung Sungai Bedil Besar bersama pelajar institusi pengajian tinggi dalam usaha memupuk semangat kebersamaan serta budaya menjaga kebersihan persekitaran.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri–Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menzahirkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), KJM serta penduduk kampung atas inisiatif menganjurkan program gotong-royong yang disifatkan sebagai platform penting dalam memupuk semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama.

UCAPAN…Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berucap merasmikan Program Gotong-Royong Perdana 2026 KJM N7 Samariang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N7 Samariang berkata, aktiviti gotong-royong wajar dijadikan amalan berterusan di peringkat kampung, bukan sahaja untuk memastikan kebersihan kawasan, malah bagi mendidik masyarakat agar mengamalkan budaya kitar semula dalam kehidupan seharian.

“Amalan kitar semula seperti mengasingkan plastik, kertas dan bahan buangan lain amat penting kerana bahan-bahan ini boleh diproses semula dan dimanfaatkan untuk kegunaan lain,” katanya pada program tersebut di di pekarangan Masjid Darul Muslimin, Kampung Sungai Bedil Besar itu bermula seawal 7.00 pagi tadi.

SUASANA gotong-royong melibatkan penduduk setempat, pelajar institusi pengajian tinggi serta ahli KJM dalam membersihkan kawasan sekitar Kampung Sungai Bedil Besar.

Menurut beliau, pembuangan plastik secara tidak terkawal boleh memberi kesan jangka panjang kepada alam sekitar, khususnya pencemaran laut yang mengambil masa beratus-ratus tahun untuk terurai.

Sehubungan itu, beliau memuji inisiatif DBKU yang menyediakan sistem kutipan bahan kitar semula di kawasan perkampungan bagi memastikan bahan buangan dapat dikitar semula secara berkesan.

Beliau turut mengaitkan kepentingan menjaga alam sekitar dengan agenda pembangunan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang menekankan keseimbangan antara pembangunan pesat dan pemeliharaan alam sekitar.

SEBAHAGIAN peserta menyertai aktiviti senamrobik sempena Program Gotong-Royong Perdana 2026 Kejiranan Mesra (KJM) N7 Samariang di Kampung Sungai Bedil Besar.

“Pendidikan awal kepada generasi muda amat penting supaya kesedaran menjaga alam sekitar dapat dipupuk sejak kecil,” katanya.

Turut hadir Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, Ahli-ahli Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), pengurusan kanan DBKU, ketua-ketua masyarakat serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Program tersebut turut disertai penduduk setempat, pelajar Kolej Universiti i-CATS, pelajar Kolej SIDMA serta ahli KJM.

PENERIMA hadiah pertandingan kutipan sampah dan penerima cabutan bertuah bergambar bersama tetamu kehormat sempena Program Gotong-Royong Perdana 2026 KJM N7 Samariang.

Program gotong-royong tersebut turut dimeriahkan dengan pertandingan kutipan sampah mengikut kategori, termasuk kanak-kanak bawah 17 tahun, lelaki dewasa dan wanita dewasa, dengan pemenang dinilai berdasarkan berat kutipan sampah.

Program berkenaan diakhiri dengan acara cabutan bertuah yang melibatkan penyertaan penduduk serta pelajar institusi pengajian tinggi, sekali gus menambah kemeriahan suasana.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen DBKU bersama komuniti setempat dalam membudayakan semangat gotong-royong sebagai asas kepada pembentukan persekitaran yang bersih, indah dan sejahtera.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Pasar Tani Semula Jadi Kuching meriah dengan hiasan Tahun Baharu Cina
Next: Program ‘Kamek Nengar, Kamek Nulong’ perkukuh sokongan sosial komuniti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.