
SIMANGGANG: Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dan JKKK Cina Kampung Resak Sri Aman menganjurkan program gotong-royong baru-baru ini sebagai sebahagian daripada Siri Program Pembangunan Komuniti.
Program tersebut memberi tumpuan kepada kerja-kerja menebang dan memangkas pokok di sepanjang Jalan Belimbing yang dikenal pasti tidak dibersihkan serta berpotensi mendatangkan risiko keselamatan akibat pokok tumbang.
Menariknya, program ini turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis yang turun padang bersama Ahli Majlis MDSA, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Cina serta ahli JKKK Cina Kampung Resak.
Menurut Harden, penganjuran program sebegini bukan sahaja memperkukuh semangat kerjasama antara pemimpin masyarakat, wakil rakyat dan agensi kerajaan, malah mampu membudayakan amalan menjaga kebersihan serta keselamatan persekitaran.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya MDSA yang menyediakan tenaga kerja serta logistik sehingga program ini dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

Selain aktiviti gotong-royong, JKKK Cina Kampung Resak turut mengambil inisiatif menyampaikan bakul makanan kepada lapan keluarga yang memerlukan. Pembiayaan bakul makanan tersebut adalah hasil peruntukan yang disalurkan oleh Harden kepada pihak JKKK.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Pengerusi MDSA Kaunselor Balean Suji Inggol, Pengerusi Bahagian Pembangunan Komuniti MDSA Kaunselor Ajin Bunchol, Penghulu Tiong Chong Onn, Penghulu Kang Tai Kong, serta Pengerusi JKKK Cina Kampung Resak, Kapitan Kii King Hung.
Oleh Adi Safarman