
SARATOK: Semangat gotong-royong dan tanggungjawab sosial terus disemai dalam kalangan masyarakat apabila Jawatankuasa Pembangunan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Krian Tengah menganjurkan program gotong-royong membersihkan kawasan awam di sepanjang laluan Lebuh Raya Pan Borneo, hari ini.
Program yang disertai oleh 36 Tuai Rumah itu turut mendapat sokongan daripada Pegawai Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, yang hadir bersama-sama menjayakan aktiviti mengumpul sampah di sekitar Perhentian Bas, Pusingan P (P-Turn), dan Simpang Utama.
Aktiviti bermula dari Simpang Krangan Saratok hingga ke Pusingan P Mendas Saratok itu diketuai oleh Penghulu Josephine Entira, dengan objektif memperindah dan membersihkan kawasan persekitaran demi kesejahteraan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, ketika mengulas mengenai program berkenaan berkata, inisiatif seperti ini membuktikan bahawa tanggungjawab KMKK bukan sekadar mentadbir penduduk rumah panjang semata-mata, tetapi turut memainkan peranan dalam membentuk masyarakat yang prihatin terhadap kebersihan dan alam sekitar.
“Aktiviti hari ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial Jawatankuasa Pembangunan KMKK Krian Tengah kepada masyarakat.
“Ia menunjukkan komitmen dan semangat gotong-royong yang tinggi dalam kalangan Tuai Rumah di kawasan ini,” katanya
Friday turut berharap agar program sebegini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa menjaga kebersihan bukanlah tanggungjawab agensi tertentu sahaja, sebaliknya adalah tanggungjawab bersama.
Kejayaan penganjuran gotong-royong tersebut jelas menunjukkan semangat kerjasama erat antara Tuai Rumah serta komitmen KMKK Krian Tengah dalam memastikan persekitaran kawasan terus bersih, selesa dan harmoni.
Oleh Adi Safarman